KOTA KINABALU: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Christina Liew, menyeru pihak pengurusan AirAsia agar lebih bertimbang rasa dan berbelas kasihan dengan menggunakan aerobridge sedia ada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) demi keselesaan dan kemudahan penumpang, terutamanya golongan rentan, warga emas dan orang kurang upaya (OKU).
Beliau menegaskan bahawa kemudahan tersebut sememangnya telah disediakan di KKIA dan berharap pihak pengurusan AirAsia akan mengutamakan keperluan untuk memberikan perkhidmatan yang baik kepada penumpang.
“Saya telah menerima aduan daripada warga emas yang menaiki penerbangan AirAsia, di mana mereka menyatakan rasa tidak selesa dan kesulitan kerana perlu berjalan agak jauh dari bangunan Terminal ke pesawat yang menunggu, serta berdepan kesukaran untuk menaiki tangga pesawat.
“Kita perlu mengambil kira kesusahan yang dihadapi oleh warga emas dan penumpang OKU, serta mengelakkan mereka daripada berdepan dengan kesulitan yang tidak perlu sebelum dan selepas penerbangan mereka,” kata Christina dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Memandangkan pihak pengurusan KKIA tidak mempunyai kuasa untuk mewajibkan penggunaan aerobridge, Christina menggesa Kementerian Pengangkutan Persekutuan (MOT) untuk mempertimbangkan penggunaan kuasanya demi kesejahteraan warga emas dan golongan OKU.
Difahamkan bahawa Kementerian Pengangkutan Sarawak berjaya mewajibkan pesawat AirAsia untuk menggunakan aerobridge di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.