HomeUtamaMembakut diisytihar kawasan bencana banjir, lima kampung terjejas

Membakut diisytihar kawasan bencana banjir, lima kampung terjejas

Read Time:1 Minute, 25 Second

Kota Kinabalu : Sebanyak lima buah kampung di daerah Membakut dilaporkan terjejas banjir berikutan hujan berterusan yang melanda daerah itu sejak petang semalam.

Berikutan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Membakut Ibrahim Terki dalam satu kenyataan berkata, daerah itu diisytiharkan sebagai kawasan bencana banjir pada jam 3 petang tadi.

“Dengan ini berdasarkan laporan dan maklumat di lapangan yang diterima daripada agensi-agensi dalam JPBD, maka adalah diisytiharkan bahawa telah berlaku bencana banjir di daerah Membakut.

“Selaras dengan pandangan dan cadangan daripada JPBD, selaku pengerusi jawatankuasa JPBD turut mengisytiharkan bahawa sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Membakut diaktifkan,” katanya.

Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif turut berkesempatan melawat beberapa kawasan yang terjejas banjir petang tadi.

Antaranya di Kampung Jambatan Baru dan Kampung Baitam.

Arifin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut turut meminta penduduk terlibat agar sentiasa menjaga keselamatan dan kesihatan.

“Saya juga meminta penduduk agar sentiasa mematuhi arahan sekiranya perlu berpindah ke PPS sekiranya diarahkan pihak keselamatan,” katanya.

Anggota APM Membakut membantu memindahkan mangsa terjejas banjir – FOTO APM

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, setakat jam 8 malam tadi, seramai 721 mangsa terjejas banjir masih dipindahkan ke PPS di tiga buah daerah di negeri ini.

Antara daerah terjejas adalah di Beaufort; Kinabatangan dan Tambunan.

“Di Beaufort, seramai 430 mangsa masih ditempatkan di PPS Dewan Selagon melibatkan 137 keluarga dan di Kinabatangan, seramai 278 mangsa di tempatkan di dua PPS melibatkan 71 keluarga.

“Manakala di Tambunan, seramai 13 mangsa masih ditempatkan di satu PPS melibatkan empat keluarga,” katanya.

Di Membakut, setakat jam 8 malam tadi, proses pemindahan dan pendaftaran mangsa terjejas banjir masih dijalankan – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Enam warga Filipina mangsa bot karam diserah semula ke negara jiran

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular