Membakut : Seorang warga emas berusia 73 tahun yang baru menjalani pembedahan usus berjaya dibantu keluar dari rumahnya yang terjejas banjir di Kampung Limpayau di sini jam 8.30 malam tadi.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Membakut dalam satu kenyataan berkata, mangsa dibantu tiga anggota APM Membakut dengan menggunakan teknik dukungan.
Warga emas, Chia Pin Shin yang tidak mampu berjalan sendiri dan bergantung kepada bantuan tongkat telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Membakut.
“Tiga anggota APM Membakut menggunakan teknik dukungan, dua orang penyelamat telah memindahkan mangsa yang baru selesai menjalani pembedahan ke PPS SMK Membakut jam 8.30 malam tadi,” menurut kenyataan itu di sini.
Setakat jam 8 malam tadi, sebanyak lima buah kampung di daerah Membakut dilaporkan terjejas banjir berikutan hujan berterusan yang melanda daerah itu sejak petang semalam.
Berikutan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Membakut Ibrahim Terki dalam satu kenyataan berkata, daerah itu diisytiharkan sebagai kawasan bencana banjir pada jam 3 petang tadi. – SABAH MEDIA / FOTO APM SABAH