HomeUtamaKajian Pembangunan Model Kesepaduan Sosial Sabah, Sarawak jadi rujukan tingkat perpaduan rakyat...

Kajian Pembangunan Model Kesepaduan Sosial Sabah, Sarawak jadi rujukan tingkat perpaduan rakyat berbilang kaum

Read Time:1 Minute, 56 Second

Kota Kinabalu : Kertas Dasar bagi Kajian Pembangunan Model Kesepaduan Sosial Sabah dan Sarawak berupaya mewujudkan sebuah model kesepaduan sosial yang boleh dijadikan sebagai rujukan bagi meningkatkan tahap perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum. 

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara (KPN) Mohamad Sobri Mat Daud berkata, dapatan kajian itu boleh dijadikan penetapan kepada hala tuju dan perancangan KPN  bagi memperkukuh Agenda Perpaduan Nasional.

“Kajian ini telah berjaya dilaksanakan berdasarkan kontrak yang dipersetujui selama enam bulan bermula pada Oktober 2023 hingga April 2024, seterusnya telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 18 Oktober 2024.

“Untuk makluman, Perdana Menteri sangat berpuas hati dengan hasil kajian ini. Sehubungan itu, satu Ringkasan Eksekutif telah disediakan oleh pihak Kementerian untuk diedarkan kepada barisan Jemaah Menteri pada 8 November 2024. 

“Kajian ini juga turut dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN) yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan kertas dasar Kajian Pembangunan Model Kesepaduan Sosial Sabah dan Sarawak di sini semalam.

Kertas dasar kajian itu diserahkan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor kepada Mohamad Sobri dalam satu acara yang berlangsung di Bangunan Canselori UMS.

Sobri berkata, meskipun  berdepan pelbagai cabaran namun kajian ini tetap berjaya dilaksanakan seperti mana tempoh masa yang diberikan.

Katanya, Kajian itu telah dibiayai menerusi peruntukan pembangunan daripada Kementerian Ekonomi (KE) di bawah Rolling Plan Kelima, Rancangan Malaysia Kedua Belas (RP5, RMKe-12) Tahun 2024.

Menurutnya, jajian itu dilaksanakan dengan kerjasama pasukan perunding daripada UMS melalui firma perunding UMS Investment Holdings Sdn. Bhd. 

“Pasukan kajian ini terdiri daripada ahli akademik daripada UMS, Universiti Malaysia Sarawak, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaya,” katanya.

Dalam pada itu, Kasim merakamkan penghargaan kepada KPN atas kepercayaan yang diberikan kepada UMS untuk melaksanakan kajian berkaitan dasar pengukuhan perpaduan negara.

Katanya, penyelidikan yang diketuai oleh ahli akademik dari Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) UMS, Prof. Madya Dr. Suraya Sintang melibatkan kolaborasi antara UMS, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaya (UM).

“Kajian ini berjaya diselesaikan dalam tempoh enam bulan dan berpotensi digunakan oleh KPN untuk memperkukuhkan dasar perpaduan negara dan meningkatkan hubungan toleransi antara masyarakat majmuk di Malaysia.

“Ini juga merupakan salah satu langkah untuk mengangkat keterlihatan UMS dan membuktikan kesarjanaan akademik UMS di pentas nasional,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Enam warga Filipina mangsa bot karam diserah semula ke negara jiran

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular