Shah Alam : Anak kelahiran Keningau, Marygrace,24, muncul juara Calpis Soda One In A Million (CSOIAM) sekali gus membawa pulang hadiah utama bernilai RM1 juta.
Kemenangan yang diraih pada pentas akhir yang disiarkan secara langsung di TV3 dari Studio Ntv7, Glenmarie, malam tadi membolehkan Marygrace membawa pulang hadiah merangkumi kereta Peugeot 408 GT, wang tunai RM500,000, kontrak rakaman bersama Alternate Records dan lagu baharu yang akan digubah serta diterbitkan bintang muzik Indonesia, Ade Govinda.
Persembahan memukau Marygrace menerusi lagu Titik Mula ciptaan dan lirik oleh Audi Mok dan Shazee Ishak, berada dalam kelas tersendiri membawa tuah buatnya sehingga bergelar juara program yang kembali diadakan selepas berehat selama 15 tahun.
Pada pertandingan itu, Kai Deva terpaksa berpuas hati dengan kedudukan di tempat kedua dengan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM50,000.
Jimi yang mendendangkan lagu Bayangan Tarimu nyanyian asal Allahyarham Jay Jay dan single baharu, Tetap Berharap ciptaan Sharon Paul, mendapat tempat ketiga menerima hadiah wang tunai berjumlah RM30,000.
Sepanjang lapan minggu beraksi, Marygrace menunjukkan peningkatan positif, malah pernah diangkat peserta ‘Terpaling Fizz’, iaitu gelaran untuk peserta terbaik pada konsert minggu ketiga.
Marygrace yang tidak dapat menahan sebak sebaik diumum sebagai juara mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menjadi tulang belakangnya sepanjang lapan minggu bertarung di pentas CSOIAM.
“Syukur Alhamdulillah… Mummy (ibu) kita dapat pergi umrah. Terima kasih kepada semua yang sudah beri peluang dan membimbing saya hingga ke tahap ini.
“Kepada semua penyokong, terima kasih banyak,” katanya memetik laporan Berita Harian di sini semalam.
Keputusan akhir bagi pentas akhir ditentukan berdasarkan 60 peratus markah daripada juri dan baki 40 lagi bergantung kepada undian penonton.
Pentas akhir CSOIAM menampilkan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang menjayakan persembahan pembuka tirai dengan menyampaikan lagu Siti Situ Sana Sini, Kau Kekasihku dan Nirmala secara medley.