Kota Kinabalu : Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Kesenian dan Kebudayaan Bisaya daerah Beaufort yang sebelum ini menempatkan seramai 176 orang mangsa terjejas banjir ditutup sepenuhnya jam 5 petang tadi.
Penutupan PPS itu dinyatakan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Beaufort Mohd Nazri Ajun dalam satu kenyataan di sini hari ini.
“Saya selaku Pengerusi JPBD Beaufort mengisytiharkan Dewan Kesenian Dan Kebudayaan Bisaya ditutup jam 5 petang tadi,” katanya.

Berikutan penutupan itu, mangsa yang masih berlindung di PPS di daerah itu adalah seramai 33 orang dan ditempatkan di PPS Dewan DSP Dun Banir.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, selain Beaufort, seramai 173 mangsa di Kinabatangan masih berlindung di dua PPS.
“Setakat jam 8 malam ini, seramai 206 mangsa melibatkan dua daerah masih berlindung di tiga PPS yang dibuka.
“Di Beaufort, seramai 33 mangsa masih ditempatkan di PPS Dewan DSP Dun Banir. Manakala di Kinabatangan seramai 173 mangsa masih ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sukau dan SK Bukit Garam,” menurut kenyataan itu lagi. – SABAH MEDIA / FOTO APM SABAH