Kota Kinabalu : Situasi banjir di daerah Telupid kembali berulang apabila seramai 87 mangsa membabitkan 23 keluarga dipindahkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 malam ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, selain dua PPS yang dibuka, terdapat dua lagi PPS yang turut diaktifkan dan proses pendaftaran mangsa masih dijalankan.
Antara PPS yang dibuka adalah di Balai Raya Kampung Maau, Dewan Kampung Rancangan Nangoh, Dewan Kampung Bambangan, dan Masjid (Lama) Kampung Gana Jati, Telupid.
Dua dari PPS yang dibuka iaitu Balai Raya Kampung Maau dan Dewan Kampung Rancangan Nangoh masing-masing menempatkan seramai 20 dan 67 mangsa terjejas banjir.
Manakala dua lagi iaitu Dewan Kampung Bambangan, dan Masjid (Lama) Kampung Gana Jati, Telupid masih lagi dalam proses pendaftaran mangsa.
Petang tadi, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Telupid Celestine Jetony dalam satu kenyataan memaklumkan daerah Telupid diisytiharkan sebagai kawasan bencana banjir berikutan hujan lebat berterusan dan kenaikan paras air sungai di paras bahaya ketika ini.
“Dengan ini berdasarkan laporan dan maklumat di lapangan yang diterima daripada agensi-agensi dalam JPBD, maka adalah diisytiharkan bahawa telah berlaku bencana banjir di daerah Telupid,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO APM SABAH