Kuala Lumpur : Bagaikan Jatuh ditimpa tangga, itu nasib Sekumpulan pemilik kenderaan yang kini berdepan masalah besar selepas kapal kargo yang membawa hampir 1,000 kenderaan ke Kota Kinabalu mengalami kebakaran pada 3 Disember 2024.
Akibat insiden itu, kenderaan-kenderaan tersebut kini tersadai di Pelabuhan Klang tanpa penyelesaian yang jelas.
Lebih membimbangkan, mereka diminta membayar tuntutan General Average (GA) sebanyak 60% daripada nilai kenderaan bagi mendapatkan semula kenderaan yang telah tersadai di North Port, Port Klang sejak lebih empat bulan lalu.
Menurut Petta Noffan, seorang wakil pemilik kenderaan yang menghubungi pihak Sabah Media untuk mewawarkan isu ini, mereka kini terbeban dengan kos tambahan yang tidak sepatutnya ditanggung oleh pemilik kenderaan.
“Kami bukan sahaja terpaksa membayar jumlah yang tinggi untuk menebus semula kenderaan, tetapi juga menanggung kos tambahan kerana kereta masih tersadai di pelabuhan. Lebih membebankan, kami tetap perlu membayar ansuran bulanan walaupun tidak dapat menggunakan kenderaan tersebut,” katanya ketika dihubungi.
Isu Kecuaian dan Tindakan Mencurigakan
Menurutnya, insiden ini bermula apabila kapal yang membawa kenderaan mereka mengalami kebakaran pada 2 Disember 2024. Namun, sehingga kini, tiada laporan rasmi dikeluarkan mengenai punca sebenar kebakaran tersebut.
Lebih mencurigakan, selepas kapal tersebut ditunda ke Port Klang, semua kenderaan diturunkan, tetapi kapal itu terus dibawa ke Batam, Indonesia.
Tindakan ini menimbulkan tanda tanya kerana dalam kes yang masih dalam siasatan, kapal dan muatan sepatutnya berada di lokasi yang sama untuk tujuan penyiasatan.
Menurut pemilik kenderaan, agen penghantaran juga didakwa tidak memasukkan insurans Marine Cargo dalam urusan mereka, menyebabkan pemilik kini dipertanggungjawabkan atas tuntutan GA yang tidak dimaklumkan lebih awal.
“Kami tidak pernah dimaklumkan tentang keperluan membayar GA ini. Malah, ada agen yang mengatakan bahawa kos penghantaran sudah termasuk insurans. Kini, kami pula menjadi mangsa akibat kecuaian mereka,” ujar seorang pemilik kenderaan yang turut terkesan.
Pemilik kenderaan yang terjejas berharap agar pihak berkuasa campur tangan untuk menyelesaikan isu ini dan mencari jalan penyelesaian yang adil. Mereka juga menyeru agar prosedur penghantaran kenderaan diperketatkan bagi mengelakkan insiden serupa berulang pada masa hadapan.
Buat masa ini, mereka masih mencari jalan penyelesaian, namun jika tuntutan GA tidak dibayar, kenderaan mereka berpotensi untuk dilelong.
“Kami sudah cukup terbeban dengan kerugian yang sedia ada. Kini, kami pula dipaksa membayar jumlah yang tidak masuk akal hanya untuk mendapatkan semula kenderaan kami,” katanya.
Semalam Kementerian Pengangkutan sedang merunding pengurangan jumlah perlu dibayar pemilik hampir 1,000 kenderaan yang tersadai di Pelabuhan Klang, selepas kapal membawa kargo itu terbakar pada 3 Dis tahun lalu.
Menteri Loke Siew Fook berkata, pihaknya mengadakan perjumpaan semalam, yang dihadiri syarikat kapal kargo, syarikat insurans, firma guaman, dan pihak berkepentingan lain, dengan fokus untuk mencari penyelesaian terhadap isu berkenaan selain menangani permintaan pemilik kenderaan terbabit.
“Keutamaan kami kini adalah untuk mencari penyelesaian bersama syarikat kapal untuk melepaskan kereta berkenaan.
“Jumlah diminta mereka adalah beban yang agak tinggi untuk pemilik kereta berkenaan, jadi kami sedang cuba merunding jumlah yang lebih munasabah,” katanya