Kota Kinabalu: Sabah merupakan contoh terbaik (role model) terutama dalam jalinan perpaduan kaum dan keharmonian beragama yang berpaksi kepada semangat Malaysia Madani.
Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), Datuk Sapawi Ahmad berkata, semangat toleransi yang tinggi menjadi resipi penting yang memperkukuhkan ikatan kekeluargaan rakyat berbilang kaum di negeri ini.
“Sabah ini merupakan contoh terbaik kepada keharmonian dan perpaduan kaum. Dalam Perlembagaan memang Islam sebagai agama rasmi tetapi memberi kebebasan kepada agama-agama lain bergerak
“Di Sabah ini satu kelebihannya ialah agama-agama yang lain ini termasuklah dalam bidang pendidikan dan sebagainya ada peruntukan khas yang diberi kepada program-program yang berkaitan bagi menambah baik hal ehwal agama yang lain maka saya fikirkan ini sebagai satu role model yang terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas sambutan Ambang Ramadan di Ibu Pejabat USIA di sini hari ini.
Sempena program itu turut diadakan forum Ambang Ramadan yang disampaikan oleh Timbalan Mufti Negeri Sabah, Ustas Abd Razak Hamdin.
Sapawi berkata, ia menjadikan Sabah sebagai contoh terbaik keharmonian kaum, seiring perpaduan yang menjadi teras Malaysia Madani.
Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan dan menyambut baik keputusan Jemaah Menteri baru-baru ini yang menolak cadangan seorang Ahli Parlimen blok kerajaan supaya portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecah kepada dua.
Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Jemaah Menteri tidak bersetuju dengan kenyataan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui berhubung perkara itu.
Sapawi menyifatkan keputusan yang dibuat oleh Jemaah Menteri itu sebagai amat wajar dan bertepatan bagi mengelak sebarang perselisihan faham.
“Ini adalah langkah terbaik dan USIA sependapat dengan Perdana Menteri bahawa platform yang ada sekarang ini adalah memadai.
“Selain menteri agama dan menteri perpaduan, kerajaan juga ada mewujudkan jawatankuasa harmoni yang diwakil oleh semua kaum dan agama,” katanya. – SABAH MEDIA