HomeUtamaBom perang dunia kedua ditemui di tapak pembinaan di Kinarut

Bom perang dunia kedua ditemui di tapak pembinaan di Kinarut

Read Time:1 Minute, 17 Second

PAPAR: Satu bom lama jenis Unexploded Ordnance (UXO) Aerial Bomb yang masih aktif ditemui di tapak pembinaan berdekatan Kilang Lok Kawi Plastic Industries, Kinarut pada petang Selasa. (25 Feb)

Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka, berkata penemuan itu dilaporkan pada jam 1.30 petang semalam oleh seorang pemandu backhoe yang sedang menjalankan kerja-kerja mengorek tanah.

“Semasa melakukan kerja pengorekan, lelaki tempatan tersebut ternampak satu objek besar yang belum dapat dipastikan. Dia kemudian mengorek dengan lebih berhati-hati sehingga berjaya mengeluarkan objek berkenaan dan mendapati ia adalah sebuah bom lama yang tertimbus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lelaki tersebut segera membuat laporan di Balai Polis Kinarut, dan sepasukan pegawai penyiasat bersama Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dikerahkan ke lokasi pada jam 5 petang.

Hasil pemeriksaan UPB mendapati bom itu masih aktif dan dipercayai merupakan peninggalan Perang Dunia Kedua. Pihak berkuasa telah menjalankan operasi pemusnahan bom pada 26 Februari, jam 8 pagi, di lokasi yang sama.

“Beberapa jalan raya ditutup bagi mengelakkan risiko kepada pengguna jalan. Pihak Jabatan Keretapi juga dimaklumkan supaya menghentikan operasi sementara ketika letupan dilakukan. Hebahan kepada penduduk setempat telah dibuat bagi memastikan keselamatan mereka,” tambahnya.

Beberapa agensi termasuk Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Penerbangan, Sabah Electricity, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat turut bekerjasama dan memberi nasihat sebelum letupan dilaksanakan.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak menghampiri kawasan penemuan bom dan segera melaporkan sebarang objek mencurigakan kepada pihak polis di talian 088-912222 atau balai polis terdekat.

RELATED ARTICLES
Utama

Geng pecah rumah aktif di Kota Kinabalu tumpas, empat ditahan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular