Oleh J. EVACHEL JOHN
KOTA KINABALU: Empat individu masing-masing didenda RM100 atau penjara tiga hari oleh Mahkamah Majistret di sini kerana gagal menjelaskan sumber wang dalam akaun bank mereka.
Wang tersebut berjumlah antara RM500 hingga RM14,350 disyaki secara munasabah diperoleh secara curang dan kesemua tertuduh gagal memberikan penjelasan yang memuaskan mengenai bagaimana wang tersebut diperoleh.
Kesemua tertuduh, Mohd Shukran Abd Mahsin, Jaludin Mohd Kassim, Philippha Marcell Robert Johnny, dan Sukariman Lagonda mengaku bersalah dihadapan Majistret Marilyn Kelvin.
Mohd Shukran didakwa memiliki wang berjumlah RM14,350 dalam akaunnya pada 23 Oktober 2024 di Taman Sindo, Penampang Baru. Sementara itu, Jaludin didakwa memiliki wang berjumlah RM7,580 dalam akaunnya yang diperoleh secara curang daripada seorang wanita pada 18 September 2023.
Philippha pula memiliki RM1,500 dalam akaunnya pada 30 September 2024 di sebuah bank cawangan Donggongon, Penampang. Manakala Sukariman didapati memiliki wang berjumlah RM200 dalam akaunnya pada 27 September 2024 di Beverly Hills Bundusan, dalam Daerah Penampang.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 22A (1) Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil Sabah yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100 atau penjara untuk suatu tempoh tidak melebih tiga bulan atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Kes pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Yusdi Basri. Tertuduh membayar denda.