Oleh J. EVACHEL JOHN
KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi menolak rayuan untuk mengetepikan ganti rugi berjumlah RM339,000 yang diberikan kepada ibu bapa tiga pelajar yang lemas dalam aktiviti merentas hutan anjuran SMK Putatan, lapan tahun lalu.
Hakim Datuk Celestina Stuel Galid mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen dalam memberikan ganti rugi kepada tiga responden (ibu bapa) iaitu Nurfazryena Fung Abdullah, Jakaria Osman, dan Norisham Purah.
Mahkamah mendapati bahawa pihak resort dan sekolah mempunyai tanggungjawab terhadap keselamatan pelajar, namun telah cuai dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut.
Mahkamah juga tidak menemui sebarang kesilapan dalam keputusan Hakim Mahkamah Sesyen sebelum ini.
Selain itu, mahkamah turut mengarahkan bayaran kos sebanyak RM10,000 kepada setiap ibu bapa pada Khamis.
Dalam tuntutan saman tersebut, ibu bapa menamakan Membakut Lake Eco Resort Sdn Bhd sebagai defendan pertama diikuti oleh Pengetua SMK Putatan, Kementerian Pendidikan Malaysia, dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan kedua, ketiga, dan keempat.
Pada 13 Disember 2022, Mahkamah Sesyen telah memutuskan bahawa keempat-empat defendan bertanggungjawab secara bersama atas kecuaian dan mengarahkan bayaran ganti rugi sebanyak RM100,000 kepada setiap plaintif pertama, kedua, dan ketiga.
Selain itu, ganti rugi sebanyak RM3,000 diberikan bagi perbelanjaan pengebumian dan RM10,000 sebagai pampasan kesedihan (bereavement) kepada setiap plaintif.
Mahkamah Sesyen juga mengenakan kadar faedah lima peratus setahun ke atas jumlah ganti rugi dari tarikh pemfailan Writ Saman sehingga keputusan dibuat, serta faedah 2.5 peratus setahun ke atas ganti rugi khas dari tarikh Writ Saman sehingga keputusan diberikan. Faedah lima peratus setahun turut dikenakan ke atas jumlah keseluruhan ganti rugi dari tarikh keputusan hingga penyelesaian penuh.
Tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Sesyen, pihak resort dan sekolah telah memfailkan rayuan secara berasingan ke Mahkamah Tinggi dan kedua-dua rayuan itu didengar oleh hakim Celestina.
Secara ringkas, pada 29 April 2017, aktiviti merentas hutan yang dianjurkan untuk pelajar SMK Putatan dalam kem kepimpinan di Membakut Eco Lake Resort bertukar tragedi apabila tiga pelajar iaitu Hafiz Hamizan Abd Rahman, Quzaimi Jakaria, dan Danial Norman Norisham lemas ketika menyeberang sebuah kolam. Ketiga-tiga pelajar tersebut masing-masing berusia 15 dan 17 tahun ketika kejadian berlaku.
Pada pagi kejadian, pelajar telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk menyertai aktiviti merentas hutan. Seorang kakitangan resort bertindak sebagai pemandu arah bagi dua kumpulan yang terdiri daripada 11 hingga 12 pelajar setiap kumpulan. Tiga pelajar yang maut merupakan sebahagian daripada kumpulan pertama.
Pemandu arah tersebut telah membawa kumpulan pertama dan kedua ke sebuah kolam dalam yang terletak di kawasan ladang kelapa sawit dalam resort. Pelajar yang berada di hadapan kumpulan, termasuk mangsa dan seorang lagi pelajar bernama Siti, diarahkan untuk menyeberang kolam tersebut tanpa sebarang peralatan keselamatan seperti tali atau jaket keselamatan. Keempat-empat pelajar mengalami kesukaran semasa merentasi kolam, menyebabkan tiga daripada mereka lemas, manakala Siti berjaya diselamatkan oleh seorang rakan.
Selepas kejadian itu, ibu bapa mangsa cuba mendapatkan penjelasan daripada pihak sekolah mengenai insiden yang berlaku tetapi tidak mendapat jawapan yang memuaskan.
Akibat daripada kejadian tersebut serta cara ia ditangani oleh pihak defendan, ibu bapa mangsa dan keluarga mereka mengalami tekanan emosi yang mendalam. Setelah mengetahui keadaan sebenar yang membawa kepada tragedi tersebut, mereka memutuskan untuk memfailkan saman di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu bagi menuntut ganti rugi ke atas kecuaian pihak defendan dalam mencegah insiden lemas seperti itu berulang kembali.
Semasa memberi keterangan di mahkamah, pelajar yang terselamat mendakwa pihak sekolah telah mengarahkan pelajar supaya tidak membincangkan insiden tersebut. Apabila beliau cuba mendedahkan kejadian sebenar kepada ibu bapa mangsa, beliau telah disisih oleh pelajar dan guru sekolah.
Tuntutan plaintif berasaskan ‘tort of negligence’ (kesalahan kecuaian) dengan mendakwa bahawa pihak defendan gagal menjalankan tanggungjawab mereka dalam memastikan keselamatan pelajar yang masih di bawah umur semasa aktiviti tersebut berlangsung.
Antara isu utama terhadap pihak resort ialah kegagalan mereka dalam mengambil langkah keselamatan yang sewajarnya bagi melindungi pelajar semasa aktiviti merentas hutan.
Selain itu, adalah fakta yang tidak dipertikaikan bahawa tiada seorang pun guru dari sekolah yang mengiringi kumpulan pertama dan kedua semasa aktiviti itu berlangsung. Malah, guru-guru juga menolak pelawaan pihak resort untuk meninjau laluan merentas hutan sebelum kem tersebut diadakan.
Peguam Eow Ee Pei mewakili ibu bapa mangsa. Peguam Jamadi Saleh mewakili pihak resort, manakala Peguam Persekutuan Negeri Mohd Suhaimie mewakili pihak sekolah, Kementerian Pendidikan, dan Kerajaan Malaysia.