Oleh FLORIETA DIET
SANDAKAN: Seorang lelaki berumur 50 tahun dilaporkan hilang setelah disambar buaya pada petang Khamis di sungai Batu 10, Kampung Sungai Batang Baru, dekat sini, mayatnya telah ditemui pada jam 8.44 pagi tadi (28 Feb).
Ketua Balai BBP Sandakan Severinus@Mohd Nidzam Sainkui ketika dihubungi berkata, mayat mangsa ditemui terapung dalam keadaan yang tidak sempurna oleh orang awam kira-kira 400 meter daripada tempat mangsa disambar buaya.
Tambah Severinus, mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Pada Khamis, BBP Sandakan telah menerima panggilan kecemasan melalui sistem MERS999 pada jam 5.40 petang melaporkan seorang lelaki hilang disambar buaya.
Saksi kejadian memberitahu bahawa mangsa disambar buaya ketika menabur baja ke sungai sebelum memulakan aktiviti merambat.
Pasukan BBP seramai tujuh anggota yang dikejarkan di lokasi kejadian untuk mendapatkan maklumat lengkap dan seterusnya melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bersama pihak polis dan penduduk kampung.