KOTA KINABALU: Sabah Electricity terus memperhebat usaha membanteras kecurian elektrik dengan menyumbangkan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4×4) kepada Jabatan Siasatan Jenayah (Unit D4) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.
Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Ir. Ts. Mohd Yaakob Jaafar, menegaskan bahawa sumbangan ini bukan sekadar penyerahan aset, tetapi bukti komitmen syarikat tenaga itu dalam memastikan jenayah kecurian elektrik tidak terus berleluasa.
“Sejak 2021 hingga tahun lalu, sebanyak 101 operasi khas telah dijalankan, khususnya bagi membanteras kegiatan perlombongan bitcoin dan penyalahgunaan bekalan elektrik dalam industri. Hasilnya, 29 individu berjaya diberkas, sekali gus menyelamatkan Sabah Electricity daripada kerugian mencecah RM17.9 juta,” katanya semasa berucap pada Majlis Penyerahan Aset Sokongan Operasi (Kenderaan Pacuan Empat Roda) Sabah Electricity kepada Jabatan Siasatan Jenayah (Unit D4) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di sini, hari ini (28 Feb).
Menurutnya, kolaborasi erat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuahkan hasil yang positif, namun masih banyak yang perlu dilakukan bagi menangani ancaman ini.
Justeru, beliau turut memberi amaran bahawa kecurian elektrik bukan sekadar isu kerugian kewangan, tetapi turut menjejaskan kestabilan bekalan tenaga dan membahayakan keselamatan masyarakat.
“Kegiatan haram ini bukan sahaja menyebabkan gangguan bekalan elektrik, tetapi juga boleh mencetuskan kebakaran dan membahayakan nyawa penduduk sekitar,” katanya.
Tambahnya, dengan adanya kenderaan 4×4 yang disumbangkan ini, operasi membanteras kecurian elektrik terutama di sekitar Kota Kinabalu dijangka akan lebih berkesan dan pantas.
Beliau turut menyeru masyarakat untuk sama-sama memainkan peranan dalam membanteras jenayah ini dengan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa.
Sementara itu, PDRM menghargai kerjasama strategik dengan Sabah Electricity dalam usaha membanteras penyambungan elektrik haram di Sabah.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, menerusi ucapan yang disampaikan oleh timbalannya DCP Datuk Shahurinain Jais menegaskan bahawa aktiviti haram ini bukan sahaja berlaku di kawasan setinggan, tetapi juga premis komersial seperti kedai dan kilang, sekali gus menjejaskan kemajuan ekonomi serta sosial negeri.
“PDRM memerlukan kerjasama berterusan dengan Sabah Electricity bagi membanteras kecurian elektrik dan memastikan kestabilan tenaga serta ekonomi negeri,” katanya.