HomeUtamaHerba-herba hutan semakin sukar diperolehi

Herba-herba hutan semakin sukar diperolehi

Read Time:3 Minute, 19 Second

Oleh FLORIETA DIET

PENCARI herba hutan menyuarakan kebimbangan pada masa akan datang herba-herba hutan sukar ditemui dan berkemungkinan harga akan lebih mahal.

Sebastian

Sebastian Tamin, 47, seorang pencari dan penjual herba di kawasan Penampang berkata ia adalah cabaran utama bagi mereka.

“Mungkin orang lain berpendapat bahawa kebimbangan kami ialah tiada generasi penerus pekerjaan tradisi ini kerana anak-anak muda kurang berminat … tetapi sebenarnya kebimbangan kami adalah kawasan hutan tempat pencarian herba semakin berkurangan.

“Contohnya, tidak semua kawasan hutan kami boleh masuk sebab ada yang digazet sebagai hutan simpan, kawasan persendirian dan banyak juga kawasan hutan yang telah diusahakan seperti membuka ladang getah, kelapa sawit dan sebagainya. Ini membuatkan kawasan hutan pencarian herba itu semakin mengecil. Ini memberi kesan kepada kelangsungan pekerjaan tradisi itu,” katanya kepada Sabah Media..

Pada kebiasaannya, Sebastian hanya mencari herba di kawasan hutan berdekatan kampungnya iaitu di Kampung Timpangoh Sugud di daerah Penampang.

“Penduduk kampung di kawasan saya memang sudah kenal saya sebagai pencari herba yang tetap, jadi mereka faham tujuan saya masuk ke kawasan hutan berdekatan mereka. Saya tidak boleh pergi ke daerah lain sebab kita tidak boleh masuk sembarangan kawasan orang lain untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

Mengenai bekalan herba, selain mencari sendiri di dalam hutan, dia juga mendapat bekalan dari saudara mara dan kawan-kawan di kawasan Sugud, Moyog hingga Gunung Mas.

“Jika mereka terjumpa herba-herba ini, ketika membersih atau membuka ladang, mereka akan menjual kepada saya dan ada juga menghubungi saya untuk mengambilnya. Bagi yang tinggal jauh di kampung dan tidak ada kenderaan, saya akan ambil di tempat mereka,” katanya.

Mengenai sambutan orang ramai terhadap herba-herba ini, dia memberitahu bahawa herba-herba hutan ini masih mendapat permintaan yang tinggi walaupun telah wujud pelbagai jenis ubat-ubatan moden.

“Bekalan herba-herba saya sentiasa tidak mencukupi. Saya hanya menjual herba-herba saya di tamu Donggongon pada Rabu, Khamis dan Jumaat sahaja dan ada juga pelanggan tetap terus menghubungi saya untuk mendapatkan bekalan herba.

Antara herba yang dijualnya di tamu Donggongon.

“Ada masa-masa tertentu juga saya tidak turun menjual herba sebab bekalan tidak mencukupi… sebab bukan senang cari herba sekarang,” katanya.

Bercerita tentang bagaimana minatnya bermula dalam mencari herba hutan, Sebastian berkata dia sering mengikut datuk dan bapanya untuk mencari herba di hutan.

Katanya, pekerjaan ini bukanlah mudah kerana dia perlu berjalan sepanjang hari meredah hutan, mendaki, dan turun bukit.

“Memandangkan kerja ini sangat memenatkan, mungkin saya adalah generasi terakhir dalam keluarga yang menjadi pencari herba hutan,” katanya.

“Anak-anak saya semua tidak berminat dengan kerja ini. Sebab adakalanya kita masuk hutan kita tidak akan jumpa herba… adakalanya balik dengan tangan kosong kerana macam saya cakap awal tadi herba semakin susah dicari,” katanya.

Sebastian menjual lebih 30 jenis herba. Herba yang paling mahal dijualnya adalah sarang semut iaitu RM500 sekilo yang telah diproses dan dikeringkan. Mengenai herba yang paling banyak terjual adalah tongkat ali dan sikat.

“Herba tongkat ali ni saya rasa semua orang tahu apa kegunaan. Manakala sikat adalah herba untuk boleh menghilang sakit-sakit badan. Ia biasanya direbus atau ditambah ke dalam arak,” katanya.

Herba-herba hutan ini bukan sahaja mempunyai peminat di kalangan orang tempatan, tetapi juga pelancong dari luar negara seperti dari China dan Jepun.

“Bukan kerana mereka tidak mempunyai herba di kawasan mereka tetapi mereka mahu mencuba herba yang ada tempat kita… sebab herba yang kita ada ni, tiada di tempat mereka kerana berlainan iklim,” katanya.

Manakala herba yang dijualnya ada yang berharga serendah RM5 sepeket. Harga bergantung kepada jenis dan berat herba tersebut.

Ketika ditanya, sama ada suatu hari nanti generasi muda tidak mengenali herba-herba hutan ini memandangkan mereka tidak berminat mengambil atau mempelajarinya. Sebastian berkata, generasi muda sudah tentu mengenali dan tahu kegunaan herba-herba ini.

“Banyak usaha telah dilakukan oleh kerajaan seperti mewujudkan taman-taman herba atau taman botanikal di Sabah. Selain itu, beberapa buku mengenai jenis-jenis herba dan kegunaannya sudah diterbitkan. Mungkin suatu hari nanti generasi muda masih boleh mengenali herba-herba ini tetapi untuk mendapatkan bekalan itu mungkin agak susah,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Orang ramai dipelawa hadir meriahkan Pesta Kaamatan Penampang Ahad ini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular