Kota Kinabalu : Tiga pelaburan baharu di Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) Lahad Datu yang dilancarkan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor baru-baru ini berupaya membantu merancakkan pembangunan ekonomi Pantai Timur Sabah.
Perkara itu disokong penuh Ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Silam Datuk Mizma Appehdullah.
Mizma berkata, pelaburan kepada POIC Lahad Datu yang dilihat sangat besar itu turut memberi kesan limpahan terutama bagi membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.
“Alhamdulillah , terima kasih kepada Kerajaan Negeri Sabah, khususnya kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, atas usaha berterusan dalam membawa pelaburan ke POIC.
“Pelaburan ini bukan sahaja membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat tetapi juga merancakkan pembangunan ekonomi Pantai Timur Sabah.
“Semoga inisiatif ini terus membawa kemajuan dan kesejahteraan kepada rakyat Sabah. Terima kasih atas keprihatinan dan komitmen kerajaan negeri terhadap Daerah Lahad Datu,” katanya dalam kenyataan di sini.
Jumaat lalu, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Pantai Timur, khususnya Lahad Datu, akan mendapat manfaat besar berikutan pelancaran tiga pelaburan di POIC.
Katanya, pelaburan baharu itu menjawab hasrat Kerajaan untuk memajukan pantai timur Sabah sebagai kawasan pertumbuhan ekonomi baharu melalui perindustrian.
Menurutnya lagi, perindustrian dalam pelbagai bentuk telah menjadi tumpuan di bandar-bandar Pantai Timur Sabah seperti Lahad Datu, Sandakan, dan Tawau, tetapi aktiviti perindustrian yang semakin giat dan kehadiran pelabuhan yang komprehensif di POIC Lahad Datu menandakan usaha bersepadu untuk menyerlahkan potensi ekonomi pantai timur.
Tambahnya lagi, usaha bersama Jetama Sdn Bhd dengan POIC Sabah untuk memperkenalkan sistem modular penyahgaraman bagi menghasilkan air industri adalah yang pertama bagi Sabah.
“Kemudahan modular inovatif ini boleh memproses kedua-dua air laut dan air payau, dengan kapasiti harian awal sebanyak 500,000 liter, dan mampu mencapai sehingga 4 juta liter sehari.
“Dalam menangani cabaran bekalan air di Sabah, pelaburan Jetama membuka jalan untuk sumber tambahan air industri, yang membolehkan untuk mengalihkan air boleh diminum dari sistem berkenaan untuk penggunaan domestik dan komersial,” katanya. – SABAH MEDIA