HomeUtamaKTC kongsi rezeki di bulan Ramadan, santuni golongan memerlukan di 25 lokasi...

KTC kongsi rezeki di bulan Ramadan, santuni golongan memerlukan di 25 lokasi seluruh Sabah

Read Time:1 Minute, 34 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Sempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan, Syarikat Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC) sekali lagi tampil menyantuni golongan memerlukan menerusi program Jelajah Iftar 2025 dengan kerjasama Unit Pembangunan Pemimpin Masyarakat (UPPM) Negeri Sabah.

Jelajah Iftar kali ke-2 yang diterajui Pengarah Eksekutif KTC, Datuk Dexter Lau, ini akan menjelajah ke 25 lokasi di seluruh Sabah, bermula di Kudat pada 4 Mac 2025 dan berakhir di Papar pada 28 Mac 2025.

Program ini menyasarkan lebih 25,000 penerima manfaat, terdiri daripada golongan asnaf, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, anak yatim piatu, dan keluarga B40.

Selain sumbangan wang saku raya dan bakul makanan, program ini turut membawa keceriaan kepada lebih 1000 kanak-kanak terpilih melalui aktiviti “Shopping Raya”, di mana mereka akan dibawa membeli pakaian baharu sebagai persiapan menyambut Aidilfitri.

Menurut Datuk Dexter, inisiatif ini bukan sekadar satu bentuk bantuan, tetapi juga satu usaha untuk mengurangkan beban keluarga yang kurang bernasib baik sepanjang Ramadan.

“Kami ingin memastikan setiap penerima bukan sahaja mendapat makanan berkhasiat untuk berbuka puasa, tetapi juga sokongan keperluan asas agar mereka dapat menjalani bulan mulia ini dengan lebih tenang,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa komitmen KTC dalam membantu masyarakat tidak terhad kepada bulan Ramadan sahaja. Sebelum ini, syarikat tersebut telah banyak menyalurkan sumbangan kepada mangsa kebakaran, banjir, serta bantuan bakul makanan semasa pandemik.

Sementara itu, Ketua Pengarah Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Negeri Sabah Datuk Awang Kadin Tang memuji usaha KTC yang tidak pernah jemu dalam menyantuni masyarakat.

“Jelajah Iftar kali kedua ini merupakan bukti keprihatinan berterusan KTC dalam memastikan bantuan sampai kepada mereka yang paling memerlukan. Diharapkan lebih banyak syarikat korporat tampil menghulurkan bantuan demi kesejahteraan bersama,” katanya.

Sebagai peneraju dalam pengedaran barangan pengguna pantas (FMCG) di Sabah, Sarawak, Brunei, dan Indonesia sejak tahun 1938, KTC terus komited dalam menyediakan produk berkualiti tinggi serta perkhidmatan terbaik untuk masyarakat.

RELATED ARTICLES
Utama

Tun Ahmadshah Abdullah meninggal dunia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular