HomeUtamaMangsa kebakaran Kg Cempaka mohon pelanjutan tinggal di PPS

Mangsa kebakaran Kg Cempaka mohon pelanjutan tinggal di PPS

Read Time:1 Minute, 32 Second

Kota Kinabalu : Mangsa kebakaran Kampung Cempaka Likas yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Likas meminta agar dibenarkan untuk terus tinggal di PPS sehingga mendapat kediaman atau tempat berlindung yang sempurna.

Perkara itu disuarakan kepada Pengarah Pejabat Perhubungan Parlimen Sepanggar Ahsim Jamat yang hadir menyampaikan sumbangan berupa kewangan bagi mewakili Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Mustapha Sakmud di PPS berkenaan.

Ahsim berkata, perkara itu akan dibawa kepada pengetahuan Kerajaan Negeri untuk dipertimbangkan bagi melanjutkan tempoh penempatan mangsa yang terlibat di PPS berkenaan.

“Saya telah menghubungi Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Mustapha Sakmud dimana beliau akan membawa perkara tersebut ke pengetahuan Kerajaan negeri dalam masa terdekat. 

“Kita faham dengan keadaan musim puasa dan kedatangan hari raya akan datang, mungkin mangsa terjejas ini agak sukar untuk mencari penempatan sendiri dalam tempoh yang singkat, justeru perkara ini akan dibawa ke pengetahuan Kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui bagi mengulas tempoh penempatan mangsa terjejas kebakaran yang dijangka genap tujuh hari esok.

Ahsim berkata, pihaknya mengambil berat isu berkenaan dan yakin Ahli Parlimen Sepanggar dapat mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan mangsa terjejas kebakaran mendapat perhatian dari pihak berkenaan.

“Saya ingin nyatakan bahawa perkara ini ada meritnya dan kita berharap agar permohonan ini dapat diambil perhatian kerana ia adalah sangat mendesak,” katanya.

Terdahulu, sebanyak dua buah dewan serbaguna, iaitu Dewan Serbaguna Likas dan Dewan Serbaguna Damai, telah diaktifkan sebagai PPS yang menempatkan seramai 511 mangsa bencana kebakaran Kampung Cempaka, Likas.

Setakat ini, seramai 200 mangsa daripada 34 keluarga telah dipindahkan ke PPS Dewan Serbaguna Likas. 

Jumlah itu terdiri daripada 126 dewasa, 68 kanak-kanak dan lima bayi dan satu individu Orang Kurang Upaya (OKU). 

Sementara itu, seramai 311 mangsa daripada 56 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Damai.

Daripada jumlah ini, seramai 203 orang adalah dewasa, 88 orang kanak-kanak, enam bayi dan 14 warga emas. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Kes HFMD di seluruh negara meningkat 266 peratus – KKM

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular