HomeUtamaJesecka tekad berusaha agar tidak terus dibelenggu kemiskinan

Jesecka tekad berusaha agar tidak terus dibelenggu kemiskinan

Read Time:3 Minute, 37 Second

Oleh FLORIETA DIET

WANITA perlu mempunyai usaha sendiri untuk keluar daripada kesusahan hidup. Perubahan hidup yang lebih baik perlu dimulakan dengan usaha. Tanpa usaha, kita akan dibelenggu kemiskinan untuk selamanya.

Inilah kata-kata pembakar semangat kepada Jesecka Dolime, 43, yang mengusahakan sabun herba buatan sendiri yang kini mendapat sambutan menggalakkan dan mempunyai pengguna tetap.

Jesecka membuat sabun untuk menambah stok sabun yang telah habis.

Justeru, penulis Sabah Media menyingkap disebalik usaha Jesecka wanita tabah dan berani ini yang tidak pernah berputus asa walaupun diusahakan secara kecil-kecilan, pendapatan yang diperolehnya mampu memberi kelegaan untuk mencukupi keperluan keluarga.

Kata Jesecka, tidak dinafikan tanggungjawab suami adalah mencari nafkah, namun dengan kenaikan harga barang dan tanggungan keluarga yang ramai, pendapatan suami tidak mencukupi.

“Oleh itu, wanita juga memainkan peranan penting dalam membangunkan ekonomi keluarga. Kita tidak boleh mengharapkan pendapatan suami semata-mata. Sebagai wanita, kita juga mempunyai keinginan sendiri dan dengan wang yang kita hasilkan itu, kita boleh mendapatkan apa yang kita mahu.

“Saya mempunyai sembilan orang anak, kini suami saya telah bersara dan hanya menerima duit pencen setiap bulan. Pendapatan memang tidak cukup untuk menampung perbelanjaan dapur dan juga persekolahan anak-anak. Jadi, untuk memastikan kebajikan anak-anak saya cukup, saya kena usaha dan lakukan sesuatu,” katanya.

Jesecka mula-mula berjinak-jinak dalam pembuatan sabun mandi herba itu sejak 2022 setelah mengikuti kursus pembuatan sabun di sebuah syarikat di Kolombong.

Jesecka membuat sabun untuk menambah stok sabun yang telah habis.

“Pada mulanya, hanya untuk kegunaan sendiri hinggalah saya melahirkan anak kesembilan. Ketika itu, saya mengalami alahan kulit yang sangat teruk dengan gatal seluruh badan. Emak saya mencadangkan agar saya membuat sabun mandi herba daripada sejenis pokok herba iaitu gembirang atau gelenggang.

“Selepas menggunakan sabun itu, alahan kulit gatal saya sembuh dan saya terus mengamalkan penggunaan sabun tersebut sehingga hari ini. Dari sana, tercetus idea untuk mencuba menjual sabun herba ini kepada mereka yang menghadapi masalah seperti saya,” ujarnya.

Menurutnya, pada awalnya, dia hanya membuat tiga jenis sabun mandi herba iaitu gelenggang, halia, dan tawawo.

“Sabun ini saya selitkan ketika menjual di tamu Donggongon. Sebelum ini, saya memasarkan hasil pertanian di tamu mingguan Donggongon.

“Hari demi hari, sabun berkenaan mendapat sambutan. Kemudian, saya berfikir untuk menambah jumlah produk ini agar lebih banyak pilihan untuk pelanggan.

“Sehingga kini, saya mempunyai sepuluh jenis sabun. Tambahan tujuh lagi sabun iaitu serai wangi, madu, bidara, aloe vera, kopi, limau purut, dan daun sirih,” katanya.

Selepas penjualan sabun itu mendapat permintaan yang tinggi, Jesecka beralih sepenuhnya menjual sabun buatan sendiri dan berhenti menjual sayur.

Katanya, penjualan sayur untungnya agak sedikit dan memang tinggi risiko kerana sayur cepat rosak dan tidak habis terjual, sedangkan kami mengeluarkan modal yang banyak untuk mengambil bekalan itu.

“Tetapi dengan sabun, saya tidak menanggung kerugian kerana ia tidak akan rosak cepat, sebab ia tahan lebih lama berbanding sayuran. Setiap minggu, saya akan membuat sabun untuk menambah stok sabun yang habis,” jelasnya.

Antara pelanggan yang sering membeli sabun Jesecka adalah pengguna berulang atau pelanggan tetap. Sabun yang paling mendapat permintaan tinggi adalah sabun
gelenggang, madu, dan sabun buang angin 4in1.

Harga jualannya mengikut saiz, dari serendah RM3 hingga RM10.

Mengenai pendapatan yang diperolehinya setiap bulan, Jesecka berkata ia boleh mencecah sehingga RM3,000.

Katanya, apa yang paling menggembirakan adalah apabila pelancong dari luar negara datang ke tamu, mereka akan membeli sabunnya sebagai buah tangan hingga habis terjual.

Selain menggunakan bahan asas sabun, Jesecka juga memastikan bahan-bahan yang digunakan adalah organik dan herba.

Mengenai promosi produknya, beliau berkata dia hanya menyediakan risalah untuk menerangkan setiap produk.

Buat masa ini, dia belum cuba menjual melalui ejen jualan lain kerana bimbang tidak dapat memenuhi permintaan pelanggan.

“Semua saya buat sendiri, tanpa pembantu. Namun, pendapatan yang saya dapat dari hasil jualan sekarang sekurang-kurangnya mampu memberi kehidupan yang lebih baik untuk keluarga saya,” katanya.

Jesecka mengakui bahawa sebelum ini kehidupan mereka sangat susah, Namun, dengan usaha gigihnya menjual sabun, keadaan kini sedikit sebanyak berubah.

“Selepas ini, saya akan terus berusaha menambah produk saya seperti syampu dan sabun serbaguna lain pada masa akan datang,” tambahnya lagi.

Dia juga menyarankan agar wanita memiliki lesen kereta sebagai langkah pertama.

“Usahakan mendapatkan lesen kereta terlebih dahulu agar memudahkan kita bergerak dan melancarkan urusan perniagaan yang kita cuba buat,” katanya.

Semoga perjalanan usaha Jesecka ini akan menjadi inspirasi kepada wanita-wanita lain di luar sana agar tidak pernah mengalah kepada ‘kemiskinan’ dan terus berusaha untuk memperbaiki kehidupan.

RELATED ARTICLES
Utama

Meriahkan kaamatan tapi jangan berlebihan – Dr Jeffrey

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular