Kota Kinabalu : Daerah Keningau dan Tenom masing- masing diisytiharkan sebagai kawasan bencana banjir berikutan hujan berterusan dan kenaikan paras air sungai di paras bahaya ketika ini.
Dalam kenyataan berasingan, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Keningau, Peter Jonu @ Peter J Moinjil berkata, pengisytiharan itu dibuat pada jam 10 malam semalam.
“Dengan ini berdasarkan laporan dan maklumat di lapangan yang diterima daripada agensi-agensi dalam JPBD maka adalah diisytiharkan bahawa telah berlaku bencana banjir di kawasan Keningau.
“Pengisytiharan bencana dibuat pada jam 10 malam pada 8 Mac” katanya dalam kenyataan di sini.
Peter berkata, berikutan itu, pengoperasian Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan pembukaan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Masyarakat Daerah Keningau dan Perpustakaan Desa Senagang turut diaktifkan.
“Selaras dengan pengisytiharan bencana ini mohon semua agensi yang terlibat bersiap sedia untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Dalam pada itu, daerah Tenom turut diisytiharkan mengalami bencana banjir pada jam 12.30 tengah malam tadi
Perkara itu dinyatakan Pengerusi JPBD Kota Tenom Mas Syazwan Masood.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Tenom Riduan Rubin dalam kemaskini di Facebooknya meminta semua pihak termasuk penduduk kampung untuk berada dalam keadaan berjaga-jaga.
Katanya, Dewan DSP Antanom akan dibuka bagi membolehkan mereka yang terperangkap di pekan dapat bermalam sementara menunggu keadaan beransur pulih. – SABAH MEDIA