Oleh ERDIE AB WAHID
Membakut : Kerajaan Sabah akan membantu sekolah-sekolah yang terjejas banjir melibatkan dua daerah di negeri ini melalui Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS).
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, bantuan yang disalurkan itu adalah bagi membiayai proses pembersihan dan mengemas semula sekolah terjejas banjir.

“Saya ingin menyatakan ada lebih 20 sekolah di daerah Beaufort dan Membakut terlibat dan terjejas dengan banjir ini. Insya Allah Kerajaan Negeri akan membantu sekolah-sekolah berkenaan melalui TPNS.
“Kita akan melihat keadaan sekolah-sekolah berkenaan dan akan mendapatkan laporan daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Beaufort dan juga daripada Pengarah. Kita akan segera membantu sekolah berkenaan khususnya bantuan untuk membiaya mereka membersihkan dan mengemas semula sekolah yang terlibat terjejas banjir ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau persiapan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kedua yang dibuka di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Membakut di sini semalam.

Arifin yang juga Exco Pendidikan Sabah berkata, dewan sekolah berkenaan akan digunakan bagi menempatkan mangsa terjejas banjir yang kini semakin meningkat.
“Beberapa hari lagi ada peperiksaan, peperiksaan STPM melibatkan sekolah ini. Pusat peperiksaan itu di dewan ini tetapi telah kita melalui PPD sudah dipindah ke beberapa buah kelas yang sesuai untuk membolehkan dewan ini menjadi PPS kedua untuk menampung mangsa banjir di dalam daerah Membakut,” katanya.
Semalam, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) Datuk Raisin Saidin berkata, terdapat 24 buah sekolah sekitar Beaufort dan Membakut terjejas banjir. – SABAH MEDIA