Putatan : Pengguna laluan di kilometer 14.300 Jalan Keningau – Kimanis yang ditutup sepenuhnya akibat tanah runtuh dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi langkah keselamatan yang dikeluarkan pihak berwajib.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, penutupan jalan berkenaan adalah disebabkan faktor keselamatan dan mengelak sebarang kemungkinan yang tidak baik berlaku.
“Ya semalam tular di media sosial berkenaan dengan jalan Keningau Kimanis yang ditutup disebabkan oleh faktor-faktor keselamatan yang mana kejadian tanah runtuh berisiko terjadi dan ada yang sudah terjadi.

“Justeru, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah telah mengambil keputusan untuk menutup sementara laluan tersebut bagi mengelakkan sebarang kemungkinan yang tidak baik berlaku. Namun ada segelintir pengguna jalan raya yang cuba berkeras untuk membuka penghadang yang dipasang dan mahu meneruskan perjalanan.
“Jadi saya sebagai Menteri Kerja Raya juga ingin menasihatkan kepada pengguna jalan raya untuk berhati-hati dalam menggunakan jalan raya di kawasan-kawasan yang terlibat. Silalah patuhi segala arahan yang dilakukan oleh pihak JKR,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau suasana Bazaar Ramadan Peladang Daerah Putatan di sini petang semalam.
Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya berkata, pihak JKR akan terus mengaktifkan Pelan Pengurusan Trafik apabila berlaku sebarang kejadian bencana alam.
“Pelan ini bukan bertujuan untuk menyusahkan ataupun menyukarkan perhubungan atau perjalanan pengguna jalan raya tetapi untuk memastikan keselamatan mereka dapat kita jaga sewaktu bencana terjadi.
“Apabila ada kawasan-kawasan yang mengalami tanah runtuh pihak kontraktor JKR Sabah telah diaktifkan untuk melakukan kerja-kerja kecemasan seperti pembersihan runtuhan tanah atau air yang tersekat dan juga apabila ada kawasan yang mempunyai tanah runtuh, jalan terbabit terlibat maka JKR dan kontraktornya akan melakukan kerja-kerja, melaksanakan jalan sementara yang selamat untuk digunakan.
“Jadi dengan kata lain, tolonglah sama-sama kita memainkan tanggungjawab kita menjaga keselamatan semua pihak,” katanya. – SABAH MEDIA