HomeIsu tempatanPerkemosh ajak orang ramai sertai kerja sukarelawan

Perkemosh ajak orang ramai sertai kerja sukarelawan

Read Time:2 Minute, 48 Second

Oleh FLORIETA DIET

PERSATUAN Kebajikan Masyarakat dan Mesra OKU Sabah (Perkemosh) mengalu-alukan orang ramai untuk menyertai mereka dalam kerja-kerja sukarelawan yang bertujuan membantu golongan orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, dan mereka yang terjejas akibat bencana alam.

Siti Mahani

Pengerusi Perkemosh Siti Mahani Sidek berkata persatuan ini yang kini mempunyai 30 ahli, mengakui bahawa jumlah tersebut tidak mencukupi untuk melaksanakan aktiviti sukarela secara berkesan.

“Ramai ahli persatuan kami bekerja maka masa mereka terhad untuk melibatkan diri dalam aktiviti kebajikan. Ada kalanya kami tidak mempunyai tenaga yang cukup untuk menjalankan aktiviti kami. Oleh itu, kami memerlukan lebih ramai sukarelawan untuk membantu,” kata Siti Mahani kepada Sabah Media.

Aktiviti pemeriksaan mata percuma untuk OKU, warga emas dan kanak-kanak. – Foto ihsan Perkemosh

Perkemosh telah didaftarkan secara sah dengan Perdaftar Pertubuhan Malaysia pada 1 November 2023, terus bergerak aktif menganjurkan pelbagai program kebajikan dengan kerjasama banyak NGO lain.

Perkemosh aktif menganjurkan pelbagai program untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik. Selain memberi fokus kepada OKU, persatuan ini turut membantu ibu tunggal serta mangsa bencana alam.

“Kami membantu mengecat rumah, membantu dari segi menyumbang tenaga kerja dengan NGO lain dalam usaha mengagihkan sumbangan mereka ketika berlakunya bencana alam,” jelas Siti Mahani.

Secara sukarela membantu mengecat rumah Rumah Kanak-Kanak Beringis.

Walaupun persatuan ini tidak mampu menawarkan gaji, Siti Mahani menegaskan bahawa pengalaman yang diperoleh melalui kerja sukarela adalah sangat berharga.

“Kami mungkin tidak dapat membayar anda gaji, tetapi nilai sukarela ini memberikan banyak pengalaman berharga dalam bekerja untuk masyarakat.

“Saya masih ingat lagi, aktiviti pertama kami ialah menganjurkan larian amal mengumpul dana untuk membantu seorang pelajar berumur 13 yang memerlukan kos pembedahan dan membeli kaki palsu. Kami berjaya mengumpul dana untuk menanggung kos pembedahan dan membeli kaki palsu berharga RM8,000. Sehingga kini pelajar itu menggunakan kaki palsu tersebut untuk meneruskan kehidupan dengan penuh semangat,” katanya.

Pada masa depan, Perkemosh merancang untuk membuka pusat penginapan bagi keluarga pesakit yang memerlukan tempat tinggal sementara berdekatan hospital.

Dia berharap ada orang yang memiliki rumah berhampiran hospital yang bersedia menyewakan kepada mereka pada harga yang berpatutan.

“Kami akan menguruskan rumah tersebut sebagai tempat penginapan untuk keluarga pesakit.

“Pendapatan melalui sewa itu akan memberikan Perkemosh sedikit pendapatan untuk mengisi dana mereka. Buat masa ini, Perkemosh tidak mempunyai sebarang pendapatan tetap untuk menyokong kewangan persatuan,” katanya.

Selain itu, Perkemosh juga akan menganjurkan dua aktiviti utama dalam waktu terdekat. Pada 27 Mac ini, mereka akan mengadakan Majlis Berbuka Puasa bersama pesakit kenser kanak-kanak dan OKU.

Seterusnya, pada April 2024, mereka akan bekerjasama dengan PERKESO dan Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS) untuk menganjurkan taklimat mengenai Portal MYFuture Job & Insentif Daya Kerjaya 2.0 bagi golongan OKU.

Siti Mahani berharap dengan adanya lebih banyak sokongan daripada masyarakat, mereka mampu mewujudkan komuniti yang lebih prihatin dan harmoni.

“Dengan sokongan masyarakat, kami yakin dapat terus memberikan khidmat kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Perkemosh juga berusaha untuk merealisasikan misi dan visi mereka dengan membantu merealisasikan dasar-dasar kerajaan berkaitan golongan OKU, wanita, warga emas, serta keluarga Malaysia, selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Bagi mereka yang berminat untuk menjadi sukarelawan atau ingin menyumbang kepada program kebajikan ini, Perkemosh membuka ruang kepada individu, sektor korporat, dan NGO untuk bersama-sama memberikan khidmat sosial dan mempererat hubungan silaturrahim dalam masyarakat.

Mereka yang berminat menjadi sukerala boleh mendaftar diri melalui pautan ini https://forms.gle/msEUMHytddeMfzNi9.

Sebarang pertanyaan juga bolehlah menghubungi Perkemosh di talian 0128899106.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Kolaborasi siswa UMS, UKM memangkin perubahan masyarakat di Tawau

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular