SANDAKAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan telah berjaya menahan sebelas individu serta merampas peralatan perikanan yang digunakan secara tidak sah dalam dua kes yang berasingan di sini, semalam.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, penahanan itu dilakukan menerusi Op Khas Cegah Pati (OCP) / Op Pluto Timur dan Op Tiris di sekitar perairan Sandakan sehingga Kinabatangan.
Kes pertama melalui Kapal Maritim (KM) Pintar telah menahan dan memeriksa Vesel Nelayan Tempatan (VNT) pada pukul 8.00 pagi di kedudukan 10.2 batu nautika timur laut Tanjung Layar-layar, Sandakan.
Hasil pemeriksaan, vesel tersebut didapati melanggar syarat sah lesen di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menggunakan lampu pengumpul ikan yang dilabuhkan ke dasar untuk menangkap ikan dalam jarak kurang daripada 12 batu nautika dari tanah besar.
Sembilan individu termasuk tekong dan anak kapal telah ditahan. Mereka terdiri daripada seorang warga tempatan dan lapan bukan warganegara dengan pelbagai dokumen pengenalan diri yang meragukan dan akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Selain itu, pelbagai peralatan dan bahan bukti telah dirampas, termasuk vesel nelayan, lampu pengumpul ikan, lesen perikanan, serta hasil laut anggaran 100kg.
Dalam satu lagi kes yang berasingan, KM Tebrau mengesan melalui radar sebuah VNT yang sedang menarik pukat tunda di luar kawasan yang dibenarkan di perairan Kinabatangan Kecil.
Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat dua orang di atas vesel tersebut, dengan seorang daripadanya warganegara Malaysia dan seorang lagi bukan warganegara.
Vesel tersebut ditahan pada pukul 12.28 tengah hari di kedudukan 2.4 batu nautika dari Kinabatangan Kecil atas kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.
Barang rampasan termasuk pukat tunda, papan tunda, GPS, serta hasil laut berupa ikan dan udang telah disita.
Muhamad Suhairy berkata, Kedua-dua operasi ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan Maritim Malaysia untuk mengekang aktiviti perikanan haram yang sering kali melanggar peraturan dan melibatkan penggunaan peralatan yang tidak sah, serta memastikan semua individu yang terlibat mematuhi undang-undang imigresen negara.
“Kesemua yang ditahan serta barang rampasan di bawa masuk ke Jeti Zon Maritim Sandakan dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat untuk tindakan lanjut.” Katanya.
Muhamad Suhairy turut mengingatkan agar komuniti maritim sentiasa bekerjasama dengan pihak Maritim Malaysia dalam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan dengan aktiviti menyalahi undang-undang atau kecemasan di laut dengan menghubungi terus bilik operasi 24 jam Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 atau talian kecemasan 999.