Kota Kinabalu : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sabah bakal menerima kapal pengawal pantai, ‘United States Coast Guard Cutter (USCGC) Steadfast’ pada Oktober depan.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, kapal USCGC Steadfast itu akan ditempatkan di Kota Kinabalu selepas proses penyediaan di Amerika Syarikat selesai.
“USCGC Steadfast akan menjadi aset penting bagi memperkukuhkan keselamatan Zon Maritim Malaysia khususnya di Laut China Selatan,” katanya selepas kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman di Istana Sri Kinabalu di sini.
Kapal sepanjang 64.16 meter itu mempunyai lebar 10 meter serta berat 1,100 tan mempunyai kelajuan sehingga 18 knot dan jarak operasi sehingga 6,100 batu nautika.
Selain itu, Mohd Rosli berkata, bagi memastikan pemantauan yang lebih baik di kawasan perairan khususnya Pantai Timur Sabah, beberapa projek pembangunan juga sedang dilaksanakan.
“Kita juga ada perancangan pembangunan radar di stesen Pulau Malawali dan ini seharusnya akan memastikan pemantauan yang lebih baik untuk perairan Kudat, maknanya perairan Pantai Timur Sabah.

“Di samping itu, ada program pembangunan untuk stesen udara di Sandakan, yang mana projek itu telah diluluskan dan selari dengan pembangunan helikopter kita.
“Helikopter kita sedang dibina di Itali dan insya-Allah jika tiada aral mulai Mei tahun 2026 kita akan mula menerima helikopter AW189 yang lebih besar daripada helikopter yang ada dalam skuadron kita sekarang, iaitu AW139.
“Jadi empat buah helikopter akan diterima, sebahagian ini akan ditempatkan di stesen udara di Sabah, iaitu di Sandakan,” katanya.
Helikopter medium lift jenis AW189 itu dilengkapkan dengan peralatan misi untuk menyokong operasi Maritim Malaysia dan dijangka akan ditempatkan di kawasan Timur Sabah Mei ini.
Kunjungan itu bertujuan memaklumkan Tun Musa tentang peranan dan fungsi Maritim Malaysia serta perancangan pembangunan agensi tersebut di Sabah.-