HomeUtamaDadah jenis methamphetamine, pelbagai barangan seludup bernilai lebih RM3.3 juta dirampas -JKDM

Dadah jenis methamphetamine, pelbagai barangan seludup bernilai lebih RM3.3 juta dirampas -JKDM

Read Time:3 Minute, 10 Second

Oleh FLORIETA DIET

KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah merampas dadah jenis methamphetamine seberat lebih 40.7 kilogram serta pelbagai barangan seludup lain yang keseluruhannya bernilai lebih RM3,344,312 dalam lima kes berasingan.

Penolong Ketua Pengarah JKDM Sabah, Saidin Jalaluddin, berkata kes pertama melibatkan rampasan dadah jenis methamphetamine di Semporna pada 11 Mac lepas, lebih kurang jam 9.23 pagi. Pasukan operasi yang terdiri daripada anggota Kastam Unit Operasi, Bahagian Penguatkuasaan Semporna, telah membuat serbuan dan merampas dua kotak berwarna coklat di Terminal Bas Semporna-Kota Kinabalu.

“Hasil pemeriksaan mendapati kotak tersebut mengandungi bungkusan yang dibalut dengan lapisan plastik berwarna hitam yang mengandungi hablur jernih disyaki dadah jenis methamphetamine. Kesemua barang kes seberat lebih 40.7 kilogram itu dianggarkan bernilai RM1,305,184.

“Modus operandi kes ini adalah dengan menyembunyikan dan menyeludup dadah menggunakan terminal bas sebagai tempat penyembunyian bagi mengelakkan pengesanan pihak berkuasa,” katanya dalam sidang media di Menara Kastam Sabah pada Rabu (9 April).

Sementara itu, kes kedua melibatkan rampasan daun ketum (Mitragyna Speciosa) di Tawau pada 6 Mac, lebih kurang jam 9 pagi. Pasukan operasi Bahagian Penguatkuasaan Tawau telah membuat serbuan dan merampas sembilan kotak berwarna coklat bersalut plastik hitam di Terminal Bas Tawau.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati kotak tersebut mengandungi serbuk berwarna hijau yang disyaki daun ketum seberat 125 kilogram yang dianggarkan bernilai RM5,000.

“Di bawah Peraturan 6, Akta Racun (Jadual Pertama, Bahagian II) Peraturan-Peraturan Racun 1952, ketum disenaraikan sebagai bahan terkawal, menjadikannya larangan tanpa lesen atau kebenaran daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Manakala, kes ketiga melibatkan dua kes rampasan mercun dan bunga api masing-masing di Lahad Datu dan Sandakan.

Beliau berkata, pada 18 Mac, lebih kurang jam 3 petang, pasukan operasi Bahagian Penguatkuasaan Lahad Datu telah membuat serbuan dan merampas kotak-kotak mercun dan bunga api di sebuah bangunan Sarang Burung, Jalan Airport Lahad Datu.

“Didapati kotak-kotak tersebut mengandungi mercun dan bunga api pelbagai jenama berjumlah 1,482 kotak. Kesemuanya dianggarkan bernilai RM1,130,640 dan melibatkan duti Kastam berjumlah RM737,239,” katanya.

Menurutnya pada 11 Mac, lebih kurang jam 3.45 petang, pasukan operasi Bahagian Penguatkuasaan Sandakan telah membuat rondaan dan merampas 11 kotak di kawasan belakang bangunan Agro Bazar, Sandakan.

“Hasil pemeriksaan mendapati di dalam kotak itu mengandungi mercun dan bunga api berjenama ‘Happy Boom’ seberat 6.84 kilogram. Mercun dan bunga api itu dianggarkan bernilai RM943 dan melibatkan cukai sebanyak RM612.95.

“Manakala kes keempat melibatkan dua kes rampasan rokok di Tawau. Dalam kes rampasan pertama, pada 10 Mac sekitar 2.30 petang, bertindak atas maklumat, pasukan operasi menjalankan serbuan dan merampas sejumlah rokok dari sebuah kenderaan jenis Perodua Viva yang ditinggalkan di Jalan Apas, Tawau.

“Pasukan telah menemui sebanyak 29,600 batang rokok di dalam kenderaan itu yang dianggarkan bernilai RM5,712 dan melibatkan cukai sebanyak RM5,920. Perodua Viva yang dianggarkan bernilai RM8,000 juga disita,” katanya.

Rampasan kedua pada 12 Mac, sekitar 9.30 malam, menurutnya, pasukan yang sama telah menjalankan rondaan rutin penguatkuasaan dan merampas sejumlah rokok dari sebuah kenderaan jenis Nissan Navara di Jalan Merotai, Tawau. Sebanyak 20,280 batang rokok dirampas, dianggarkan bernilai RM3,456 dan melibatkan cukai sebanyak RM13,730. Kenderaan tersebut yang dianggarkan bernilai RM100,000 telah disita. Manakala kes kelima melibatkan sitaan kenderaan “overstay” di Tawau. Pada 18 Mac, sekitar 11 malam, pasukan serbuan telah menjalankan rondaan dan menyita sebuah kenderaan di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Labuan Senang, Tawau.

“Kenderaan jenis Honda Civic berwarna putih yang berdaftar di Labuan itu telah melebihi had kelayakan untuk berada di Kawasan Utama Kastam (KUK). Kenderaan tersebut yang dianggarkan bernilai RM15,000 melibatkan duti Kastam sebanyak RM12,875.00.

“Berdasarkan Perintah Duti Kastam (Pengecualian) 2017, kenderaan tersebut tidak boleh berada di KUK lebih daripada 90 hari dalam setahun. Kenderaan tersebut disalahgunakan dan dibiarkan melebihi tempoh kelayakan tanpa membayar cukai,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Setiap langkah bersama Navdeep – Simran Jaryal

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular