HomeUtamaDua gajah mati dibunuh, pihak berkuasa giat kesan suspek pemburu haram

Dua gajah mati dibunuh, pihak berkuasa giat kesan suspek pemburu haram

Read Time:2 Minute, 26 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Dua ekor gajah ditemui mati dalam tempoh tiga bulan, kejadian menyayat hati ini sekali lagi menggemparkan Sabah dan mencetuskan kebimbangan terhadap aktiviti pemburuan haram yang dilaporkan masih berlaku walaupun pelbagai langkah penguatkuasaan telah dilaksanakan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Christina Liew berkata pihak berkuasa kini sedang berusaha keras mengesan dan menangkap pihak yang bertanggungjawab di sebalik pembunuhan kejam itu.

“Saya telah bercakap dengan pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah Mohd Soffian Abu Bakar. Mereka sedang berusaha menangkap pesalah dan telah mengenalpasti beberapa suspek. Tetapi setakat ini, masih belum ada bukti kukuh,” katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Pelan Pengurusan Gajah dalam Kurungan di Sabah dan Simposium Pemuliharaan Gajah Borneo di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.

Tambah Christina lagi, pihak berkuasa sedang mempertimbangkan pelbagai langkah termasuk insentif untuk mendapatkan kerjasama penduduk kampung yang dipercayai tahu siapa pesalah sebenar namun masih memilih untuk berdiam diri.

“Kami tahu bukan semua penduduk kampung terlibat. Ramai antara mereka sayangkan haiwan. Mereka tahu bahawa pelancong juga menyayangi mereka. Mereka datang ke sini khususnya untuk melihat haiwan tersebut, tapi mereka (pelaku) perlu berani tampil.

“Jika kami menemukan siapa mereka (pelaku), kami akan dakwa mereka dan memastikan mahkamah mengambil tindakan yang sewajarnya,” tegasnya.

Menyentuh tentang usaha perlindungan jangka panjang, Christina memaklumkan bahawa kementeriannya telahpun memperkenalkan Pelan Tindakan Gajah Negeri Sabah 2020-2029.

“Kami sangat konsisten dalam pelaksanaan pelan ini. Tapi cabarannya besar, terutama sekali mencari pegawai penguatkuasa yang mencukupi. Sebab itu kami melatih orang tempatan untuk bantu dalam pengawasan,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, berhubung kejayaan penguatkuasaan sebelum ini, beliau berkata jumlah kes pemerdagangan spesies haiwan terlindung lain seperti tenggiling telah menurun selepas tindakan keras diambil, termasuk hukuman penjara terhadap pelaku yang tertangkap.

“Dulu tenggiling dieksport dalam kontena. Sekarang selepas tindakan tegas, ada yang telah dihukum penjara. Walau bagaimanapun kita tetap perlu terus memantau,” katanya.

Menurut rekod, jumlah gajah di Sabah kini dianggarkan sekitar 1,500 ekor sahaja, satu angka yang amat membimbangkan dan menuntut tindakan segera serta bersepadu.

Bagi menangani isu ini, satu mesyuarat pengurusan khas bersama Jabatan Hidupan Liar dan pihak berkepentingan akan diadakan, termasuk membincangkan cadangan memberi latihan senjata kepada pegawai penguatkuasa, jika perlu.

“Kami tidak akan berkompromi. Jika mereka bersenjata, kita juga perlu bersedia. Tapi segala keputusan akan diputuskan dalam mesyuarat akan datang,” katanya.

Beliau turut menolak untuk mengulas lanjut mengenai kemungkinan sindiket dari luar negara terlibat, termasuk dari Kalimantan, tanpa sebarang bukti kukuh setakat ini.

“Kami sedang siasat. Tapi tanpa bukti, sukar untuk buat kesimpulan. Fokus kami sekarang ialah tangkap pemburu dan lindungi gajah serta haiwan lain daripada terus pupus,” ujarnya.

Pada awal April lalu, Sabah Media melaporkan seekor gajah pygmy Borneo ditemui mati dalam keadaan tragis dengan kepala dipenggal di kawasan Tibow-Sapulut, berhampiran Tawau.

Penemuan bangkai gajah ini mengingatkan kepada satu kes serupa yang berlaku pada Januari lalu di jalan Kalabakan-Sapulut, kepala dan anggota badan gajah tersebut dipotong, namun tiada tangkapan dilakukan setakat ini.

RELATED ARTICLES
Utama

Dua warga asing dipenjara, didenda berhubung judi sabung ayam

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular