HomeUtamaAmisah cadang tubuh Sabah Youth Policy Action Hub, ADBS perlu diaktifkan semula

Amisah cadang tubuh Sabah Youth Policy Action Hub, ADBS perlu diaktifkan semula

Read Time:1 Minute, 37 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Amisah Yassin mencadangkan agar kerajaan negeri mengaktifkan semula peranan Ahli Dewan Belia Sabah (ADBS) dengan penjadualan sidang tahunan tetap serta mewujudkan satu sekretariat tetap yang dinamakan Sabah Youth Policy Action Hub.

Cadangan itu dikemukakan semasa menyampaikan ucapan membahas Ucapan Dasar Tuan Yan Terutama dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri Sabah ke-16, di sini, semalam.

Menurut Amisah, ADBS yang diwujudkan dua tahun lalu sebagai platform untuk anak muda Sabah terlibat dalam proses demokrasi, kepimpinan dan dasar negeri, kini dilihat semakin menyepi selepas persidangan sulungnya pada Oktober 2023.

“Tiada susulan, tiada program. Anak-anak muda Sabah yang hadir dengan cadangan bernas daripada pelbagai latar belakang seolah-olah hanya diberi ruang sementara. Resolusi mereka tidak diikuti dengan mekanisme pelaksanaan atau pemantauan yang jelas,” katanya.

Antara isu yang pernah dibangkitkan oleh ADBS termasuklah peluang pekerjaan untuk belia luar bandar, pendidikan kemahiran bersasar, keperluan pendigitalan desa serta pengukuhan ekonomi komuniti.

Sehubungan itu, beliau menyarankan agar hasil perbahasan ADBS dibentangkan secara rasmi dalam DUN setiap tahun dalam bentuk laporan khas untuk tindakan lanjut kementerian dan agensi berkaitan.

Dalam masa sama, beliau turut mencadangkan penubuhan Sabah Youth Policy Action Hub, iaitu sebuah badan sekretariat tetap yang akan dianggotai wakil kerajaan, ADBS, pertubuhan belia dan akademik.

“Hab ini bukan sahaja akan memantau dan melaporkan pelaksanaan idea-idea ADBS, tetapi juga menjadi pusat kepada pembentukan dasar-dasar belia baharu dan melatih anak muda untuk menjadi pemimpin di peringkat serantau dan antarabangsa,” jelasnya lagi.

Amisah turut mencadangkan agar kerajaan negeri memperuntukkan dana khas untuk program latihan kepimpinan, penulisan dasar, simulasi persidangan dan pendedahan antarabangsa bagi ADBS.

Tambah beliau, langkah ini adalah sejajar dengan matlamat Inkubator Kepimpinan Belia Sabah (IKEBS) di bawah Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBS), dalam usaha melahirkan pemimpin belia yang kompeten serta berwibawa.

Untuk rekod, seramai 79 orang Ahli Dewan Belia Sabah telah dilantik setakat ini, termasuk enam wakil Dewan Undangan Negeri Belia secara lantikan.

RELATED ARTICLES
Utama

Alexander puji komitmen Sabah percepat projek Pan Borneo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular