HomeUtamaKemiskinan tegar di Sabah turun 89.9 peratus, direkodkan 1,464 KIR setakat Februari...

Kemiskinan tegar di Sabah turun 89.9 peratus, direkodkan 1,464 KIR setakat Februari 2025

Read Time:1 Minute, 33 Second

Oleh FLORIETA DIET

KOTA KINABALU: Usaha berterusan Kerajaan Negeri Sabah dalam membasmi kemiskinan tegar terus menunjukkan hasil yang positif apabila jumlah Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar yang direkodkan dalam sistem eKasih menurun secara drastik sebanyak 89.9 peratus.

Jumlah itu mencatatkan penurunan daripada 14,553 KIR pada 29 Februari 2024 kepada hanya 1,464 KIR setakat 28 Februari 2025.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir berkata, data tersebut adalah berdasarkan rekod dalam sistem eKasih yang bersifat dinamik dan berubah-ubah mengikut keadaan semasa.

Menurutnya, perubahan status dalam sistem itu dipengaruhi oleh beberapa faktor termasuk pertambahan atau pengurangan ahli isi rumah, perubahan pendapatan, pemberian atau penamatan bantuan, serta maklumat lain seperti kematian atau perpindahan ke negeri lain.

Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri Sabah ke-16, di sini, pada Selasa.

Beliau turut menjelaskan, antara penyumbang utama kepada penurunan jumlah KIR miskin tegar itu ialah pelaksanaan Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) yang telah mula dikreditkan kepada penerima pada 17 Februari 2025. Program ini merupakan inisiatif kerajaan negeri bagi membantu golongan miskin dan miskin tegar dengan pemberian bantuan kewangan sebanyak RM300 sebulan selama setahun, membabitkan peruntukan keseluruhan RM358.4 juta.

Secara keseluruhan, seramai 100,000 penerima di seluruh Sabah dijangka mendapat manfaat daripada program ini. Pembayaran dibuat secara empat fasa setahun, bermula Januari hingga Mac bagi fasa pertama, diikuti April hingga Jun, Julai hingga September dan Oktober hingga Disember. Setiap penerima akan menerima bayaran secara lump-sum sebanyak RM900 untuk setiap fasa tiga bulan.

Tambah Abidin, kerajaan negeri turut komited untuk memastikan golongan yang telah keluar daripada kategori miskin tegar dapat terus kekal di atas garis kemiskinan. Ukuran garis kemiskinan ini ditentukan melalui Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Makanan, iaitu pendapatan bulanan di bawah RM1,218 bagi satu isi rumah purata sebanyak 4.3 orang, atau pendapatan per kapita sebanyak RM288 bagi setiap ahli isi rumah.

RELATED ARTICLES
Utama

Alexander puji komitmen Sabah percepat projek Pan Borneo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular