Oleh ERDIE AB WAHID
Kota Kinabalu : Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) menerusi Bahagian Zakat dan Fitrah (BZF) menganggarkan sebanyak RM155 juta pungutan Zakat Harta dan Zakat Fitrah berjaya dihasilkan pada tahun ini.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslan Muharam berkata, dari jumlah itu sebanyak RM12.6 juta dianggarkan dipungut menerusi pungutan zakat fitrah dengan sasaran jumlah pembayar seramai 1.68 juta.
Bagaimanapun katanya, jumlah sebenar hasil kutipan zakat fitrah masih belum dapat dimuktamadkan kerana masih dalam proses pengiraan serta pengauditan.
“Bagi pengagihan zakat pada bulan Ramadan tahun ini, BZF MUIS telah memperuntukkan dana sebanyak RM20.1 juta untuk diagihkan kepada asnaf yang berhak.
“Sejumlah lebih RM18 juta telah diagihkan kepada asnaf fakir, miskin dan mualaf di bawah Skim Bulanan dan Hari Raya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Amisah Yassin (ADUN Dilantik) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.
Ruslan berkata, dari jumlah peruntukan dana yang disalurkan menerusi skim itu, lebih RM8 juta telah disalurkan kepada seramai 12,841 penerima terdiri dari golongan fakir.
Katanya, sebanyak lebih RM9 juta peruntukan dana turut disalurkan kepada 30,766 penerima dari golongan miskin.
“BZF MUIS turut menyalurkan peruntukan dana menerusi skim itu sebanyak lebih RM1.2 juta yang memberi manfaat kepada 4,055 golongan mualaf,” katanya.
Tambahnya, peruntukan dana sebanyak RM1.6 juta lagi akan diagihkan kepada wakil- wakil amil yang dilantik oleh MUIS dengan seramai 2,050 orang wakil amil fitrah pada tahun ini. – SABAH MEDIA