Oleh J. EVACHEL JOHN
KOTA KINABALU: Dua anggota polis berpangkat Lans Koperal dijatuhi hukuman penjara dan denda oleh Mahkamah Sesyen di sini atas kesalahan menerima rasuah dan bersubahat.
Kedua-dua tertuduh iaitu Roslee Abd Rashid, 48, dan Hisyamuddin Sedan, 33, mempunyai satu pertuduhan bersama, selain Roslee turut berdepan tiga pertuduhan berasingan manakala Hisyamuddin dengan dua pertuduhan lain.
Roslee dijatuhi hukuman penjara keseluruhan empat tahun penjara RM52, 500, manakala Hisyamuddin dijatuhi hukuman penjara keseluruhan tiga tahun dan denda RM42,500.
Hakim Jason Juga menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Roslee dan Hisyamuddin selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap kedua-dua tertuduh tanpa keraguan munasabah, hari ini.
Bagi pertuduhan bersama, Roslee dan Hisyamuddin dijatuhi hukuman penjara selama setahun dan denda RM22,500 atau 10 bulan, jika gagal bayar, kerana menerima rasuah RM4,500 daripada seorang individu bernama Norman sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya yang didapati membawa sembilan pendatang tanpa izin pada 11 Februari 2019 antara jam 4 petang hingga 8.30 malam di Ladang Bongawan, Papar.
Roslee turut dijatuhi hukuman penjara satu tahun dan denda RM10,000 atau lima bulan penjara bagi setiap daripada tiga pertuduhan berasingan yang dihadapinya.
Bagi pertuduhan pertama, Roslee didakwa menerima rasuah sebanyak RM500 daripada Norman sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya kerana membawa sembilan pendatang tanpa izin pada hari dan masa yang sama.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, Roslee didapati menerima sejumlah RM3,000 daripada Shim sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap Norman atas kesalahan membawa pendatang tanpa izin masing-masing pada 11 Februari 2019 dan 27 Februari 2019, di tempat yang sama.
Bagi kes Hisyamuddin, dia dijatuhi penjara setahun serta denda RM10,000 atau penjara lima bulan bagi setiap pertuduhan terhadapnya.
Hisyamuddin berdepan dua pertuduhan kerana bersubahat dengan Roslee dalam melakukan jenayah tersebut dengan menerima sejumlah RM3,000 daripada Shim bagi tujuan yang sama masing-masing pada 11 Februari 2019 dan 27 Februari 2019 di tempat yang sama.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara terhadap kedua-dua tertuduh dijalankan secara serentak, bermakna mereka hanya perlu menjalani hukuman penjara selama satu tahun sahaja.
Mahkamah juga membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi. Kedua-dua tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin yang sama.
Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan memanggil 10 saksi manakala pihak pembelaan memanggil tiga orang saksi.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Izzati Safiee, manakala peguam Wotti Junius mewakili kedua-dua tertuduh.