Oleh J. EVACHEL JOHN
KOTA KINABALU: Projek Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) yang mengalami kelewatan akan dipantau secara berkala setiap tiga hari bagi memastikan pelaksanaannya berjalan mengikut jadual dan memberi manfaat kepada rakyat.
Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Samad Jambri (GRS–Labuk) berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha kementerian untuk meningkatkan ketelusan dan kecekapan dalam pengurusan projek, di samping memberi ruang untuk penambahbaikan jika diperlukan.
“Kementerian juga akan memastikan laporan pemantauan dikemaskini secara berkala dan tindakan segera diambil sekiranya terdapat sebarang isu yang perlu diberi perhatian,” katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan oleh Arunarnsin Taib (Warisan – Gum-Gum) berhubung apakah tindakan Kerajaan terhadap projek Rumah SMJ yang didakwa terbengkalai khususnya di kawasan DUN N.50 Gum-Gum.
Menurut Samad, pihak kementerian memandang serius mengenai isu kelewatan penyiapan dan komited dalam memastikan projek Rumah Mesra SMJ ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan memberi manfaat kepada penduduk setempat.
“Semua pihak terlibat sedang berusaha untuk menyelesaikan isu-isu ini dengan secepat mungkin dan memastikan penyelesaian terbaik.”
Tambahnya, hasil lawatan pemantauan bersama Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) pada 7 April lalu mendapati projek projek Rumah Mesra SMJ di DUN Gum-Gum sedang dilaksanakan, dan hanya satu unit rumah mengalami kelewatan.
Katanya, pihak kontraktor yang hadir semasa lawatan itu turut memberi komitmen untuk menyiapkan rumah-rumah yang masih dalam pelaksanaan.
Jelasnya, kelewatan tersebut antara lain berpunca daripada isu akses ke tapak, banjir serta pertukaran lokasi oleh penerima.
“Masalah akses jalan, contohnya di Kg. Ulu Dusun yang memerlukan pembinaan jalan sepanjang dua kilometer untuk menghubungkan kawasan tapak projek dengan jalan utama. Pembinaan akses jalan tersebut mengambil masa untuk dilaksanakan oleh pihak kontraktor.
“Kedua, jalan utama ke projek Rumah Mesra SMJ mengalami masalah banjir apabila hujan teruk, contohnya akses jalan di Kg. Sungai Memanjang dilanda banjir teruk pada hujung tahun 2024 dan 2025 yang mana telah menyebabkan pembinaan Rumah Mesra SMJ tidak dapat dilaksanakan.
“Ketiga, pihak pejabat pelaksana juga mengalami isu perubahan Lokasi pembinaan Rumah Mesra SMJ oleh penerima atas faktor masalah keluarga dan tapak tanah yang menyebabkan sedikit kelewatan dalam proses pembinaan rumah tersebut,” katanya.
Menjawab soalan tambahan berhubung proses pemilihan penerima rumah, Samad menjelaskan bahawa pemilihan dibuat secara sistematik melalui Jawatan Kuasa Fokus Grup di setiap daerah yang dianggotai pelbagai jabatan dan agensi berkaitan.