HomeUtamaYayasan Sabah main peranan teraju, pelopor segmen pembangunan modal insan

Yayasan Sabah main peranan teraju, pelopor segmen pembangunan modal insan

Read Time:2 Minute, 32 Second

Oleh ERDIE AB WAHID

Kota Kinabalu : Kumpulan Yayasan Sabah (KYS) memainkan peranan yang signifikan sejak penubuhannya yang menjadi peneraju dan pelopor dalam segmen pembangunan modal insan di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang Datuk Seri Ghulam Haidar Khan Bahadar berkata, KYS telah mempelopori penubuhan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) yang menyediakan dana pendidikan kepada anak-anak tempatan negeri Sabah.

Katanya, dianggarkan kira-kira 8,000 anak Sabah yang melanjutkan pelajaran di dalam dan luar negara telah dibantu di bawah TPNS pada tahun lalu membabitkan peruntukan sebanyak RM8 juta.

“Manakala pada tahun ini TPNS menyasarkan untuk membantu lebih 10,000 penerima golongan B40, termasuk mereka yang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, sampai ke peringkat Sarjana Muda dan Doktor Falsafah.

“Selain TPNS, KYS turut membangunkan modal insan menerusi dua institusi pendidikan yang diwujudkan, iaitu Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) dan University College Sabah Foundation (UCSF).

“KTYS dan UCSF yang dibangunkan itu adalah sebagai papan loncatan atau platform bagi anak-anak tempatan negeri Sabah untuk menimba ilmu dan menjadi insan gemilang yang bersinar terang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar Kerajaan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.

Ghulam yang juga Pengarah Yayasan Sabah berkata, UCSF menawarkan pelbagai program akademik dan kemahiran yang relevan kepada kemajuan sosioekonomi dan budaya Sabah serta Malaysia. 

Katanya, sebanyak 14 program ditawarkan di bawah empat fakulti; Fakulti Pengurusan dan Keusahawanan, Fakulti Seni dan Multimedia Kreatif, Fakulti Sains dan Kelestarian Semula Jadi dan Fakulti Pembangunan dan Pengajian Kepelbagaian Budaya.

Tambahnya, ia juga turut disokong oleh Pusat Kajian Pembangunan (CDS), Institut Kajian Borneo (IBS), Pusat Pembangunan Bahasa dan Generik (CLGD), Kilang Pengajaran dan Pembelajaran dan Galeri Inspirasi Seni Alam (NIAG).

“Sejak ditubuhkan 10 tahun lalu, UCSF telah memberi manfaat kepada lebih 3,000 anak-anak Sabah. Jumlah ini meningkat kepada lebih 1,000 pelajar aktif pada tahun 2024 bagi kursus ijazah, diploma dan sijil seterusnya menjadikannya jumlah tertinggi sejak penubuhannya. 

“Paling menarik, UCSF juga telah berjaya mencapai kategori Kompetitif dalam Sistem Penarafan Bersepadu Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (SETARA),” katanya.

Sementara itu, Ghulam berkata, KTYS ditubuhkan dengan objektif untuk menyediakan akses pendidikan berteraskan akademik dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berkualiti tinggi selain melahirkan graduan yang inklusif serta berketerampilan dan membentuk sistem tadbir urus yang berkualiti, cekap dan berintegriti.

“Bagi mencapai objektif tersebut, perkongsian pintar dengan pakar industri yang berkaitan, institusi pendidikan dan latihan diwujudkan. 

“Seiring usaha membangunkan modal insan, KTYS bekerjasama rapat dengan kerajaan untuk melengkapkan pelajar dengan kemahiran yang diperlukan dalam memenuhi keperluan pasaran kerja.

“Menerusi kempen `KTYS Pilihanku’, KTYS mencatat enrolmen 1,366 orang pelajar baharu, iaitu melebihi sasaran 1,345 orang pelajar baharu pada tahun 2024. Ini menunjukkan peningkatan dalam kemasukan dan komitmen terhadap pendidikan berkualiti di Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, Ghulam berkata, KTYS berjaya mencapai 98 peratus kebolehpasaran graduan melalui kerjasama strategik pada tahun lalu.

Katanya, ini termasuklah dengan DRB-HICOM University of Automotive Malaysia, yang menawarkan pindahan kredit dan jaminan pekerjaan kepada graduan yang melanjutkan pengajian di sana selepas tamat pengajian di KTYS. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Pelajar SPM disaran pilih kursus berpotensi tinggi – Mustapha Sakmud

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular