Shah Alam : Kerajaan Negeri Sabah sentiasa komited membantu rakyatnya di Semenanjung termasuk dalam urusan pengurusan jenazah.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran) Datuk Norlijah Danin berkata, pada tahun lalu, Kerajaan Sabah telah membantu sebanyak 191 kes penghantaran jenazah rakyat negeri itu untuk dibawa balik ke negeri itu dengan kos melibatkan lebih RM492,036.60.

“Manakala pada tahun ini, sebanyak 32 jenazah telah diuruskan membabitkan anggaran perbelanjaan sebanyak RM143,000.
“Ini adalah bukti keprihatinan kerajaan negeri terhadap rakyat Sabah yang mengalami musibah di perantauan. Kos ini ditanggung sebagai satu usaha menjaga kebajikan rakyat kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Sabah Media pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Rakyat Sabah di Semenanjung, di sini pada Sabtu.
Norlija turut menekankan pentingnya rakyat Sabah yang bekerja dan belajar di Semenanjung untuk terus mengukuhkan jati diri selain membuktikan kemampuan di mana sahaja mereka berada, dan tidak melupakan asal-usul negeri kelahiran.
Sementara itu, Pengarah Pejabat Perhubungan Negeri Sabah Dg Norsiah Ag Duraman turut memuji komitmen warga kerja jabatan tersebut dan mengharapkan kekuatan serta profesionalisme pasukan akan terus dipertingkatkan.
Beliau turut menasihatkan rakyat Sabah agar menyalurkan masalah melalui saluran rasmi terlebih dahulu tanpa memviralkan isu.
Ini kerana katanya, pelbagai bantuan dan peruntukan disediakan oleh Kerajaan Negeri Sabah serta agensi berkaitan.
“Jangan segan meminta bantuan. Kita ada banyak saluran untuk membantu rakyat kita di sini,” katanya. – SABAH MEDIA