HomeUtamaUkhuwah Madani kukuhkan semangat kenegaraan dan perpaduan

Ukhuwah Madani kukuhkan semangat kenegaraan dan perpaduan

Read Time:1 Minute, 26 Second

Kota Kinabalu :  Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) dengan kerjasama Akademi Kenegaraan terus komited memperkasa kesedaran rakyat tentang nilai dan peranan dalam membangun negara melalui penganjuran program Ukhuwah Madani.

Yang Dipertua USIA, Datuk Sapawi Ahmad berkata, program itu juga dapat memperkukuhkan lagi semangat fiqh kenegaraan.

Selain itu katanya, program berkenaan juga memahami tanggungjawab rakyat dalam konteks sebuah negara berbilang kaum, agama dan budaya seperti Malaysia.

“Kesedaran terhadap asas-asas kenegaraan sangat penting untuk mengekalkan keharmonian, kestabilan sosial dan kemajuan negara. 

“Ia juga menjadi teras dalam membina masyarakat madani yang diimpikan. Program ukhuwah seperti ini berfungsi mengeratkan hubungan antara masyarakat, keluarga dan pimpinan, sekali gus memperkukuhkan semangat perpaduan nasional yang menjadi kunci kepada pembangunan sosioekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Ukhuwah Madani sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Menara USIA di sini pada Sabtu.

Sapawi berkata, Akademi Kenegaraan, yang dibangunkan semula selepas era Biro Tata Negara (BTN) itu memainkan peranan penting dalam menyemai nilai patriotisme dan kefahaman kenegaraan. 

Katanya, fokus akademi ini adalah untuk melatih rakyat memahami dasar pembangunan negara dan kepentingan toleransi dalam masyarakat berbilang bangsa.

Menurutnya lagi, penganjuran program seperti ini dijangka diperluaskan ke beberapa zon lain di Sabah seperti Sandakan dan Tawau, selepas kejayaan program awal di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) yang menghimpunkan lebih 400 peserta.

Dalam meraikan semangat Aidilfitri, Sapawi berkata, program ini turut meraikan anak-anak yatim daripada beberapa institusi tempatan, sebagai simbolik kepada keprihatinan sosial dan nilai kasih sayang yang mendasari konsep masyarakat madani.

Katanya, kerjasama strategik antara USIA dan Akademi Kenegaraan ini dijangka menjadi platform berterusan dalam memperkasa kesedaran rakyat Sabah terhadap kepentingan memahami, menjaga dan memajukan negara dalam semangat kebersamaan. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Maritim Malaysia tahan bot bawa barang kawalan tanpa permit

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular