Tuaran: Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM13.66 juta tahun ini bagi usaha pemeliharaan warisan budaya dan seni Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, iini bagi memastikan warisan seperti pakaian tradisional etnik Sabah bukan sahaja diwarisi oleh generasi kini tetapi juga dilindungi untuk generasi akan datang.
“Saya berharap minat terhadap warisan budaya kita dapat dikekalkan dan diwarisi dari satu generasi ke generasi yang lain.
“Para peserta pertandingan Unduk Ngadau sendiri perlu mengambil peluang untuk menjadi duta pemeliharaan budaya, bahasa dan tradisi suku kaum Kadazandusun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Sodop Unduk Ngadau Kaamatan peringkat daerah Tuaran di Nexus Resort and Spa Karambunai di sini pada Sabtu.
Hajiji berkata, acara itu juga bukan sekadar pertandingan fesyen pakaian etnik.
“Ia merupakan satu platform penting untuk menyerlahkan usaha kita dalam memelihara, mengangkat dan memartabatkan warisan budaya masyarakat Kadazandusun Murut dan Rungus (KDMR), khususnya dalam aspek pakaian tradisional yang kaya dengan nilai estetika, simbolisme dan sejarah.
“Acara-acara seperti ini juga boleh menjana ekonomi di kalangan pereka-pereka busana dan pakaian etnik di negeri Sabah melalui ciptaan dan kreativiti mereka,” katanya.
Sementara itu, Hajiji berkata, busana tradisional bukan hanya sekadar pakaian, tetapi melambangkan identiti, kedudukan sosial, nilai dan tradisi sesuatu kaum.
Sebagai contoh, daerah Tuaran terkenal dengan sulaman Linangkit, di mana setiap sulaman, motif dan warna mempunyai makna dan cerita tersendiri.
“Kita mesti menghargai dan mengetengahkan seni ini kepada generasi muda dan masyarakat umum,” katanya.
“Pertandingan ini juga menyokong usaha Kerajaan Negeri untuk memperkukuh pelancongan budaya melalui promosi warisan tempatan. Keunikan busana etnik
Kadazandusun boleh menjadi tarikan bukan sahaja di peringkat negeri, malah di peringkat antarabangsa,” katanya.
Hajiji berkata, tema sambutan Pesta Kaamatan tahun ini, ‘Kaamatan Untuk Semua’, membawa makna yang besar bahawa semangat Kaamatan tidak terbatas kepada satu kaum sahaja, tetapi adalah milik bersama seluruh rakyat Sabah. – SABAH MEDIA