Oleh ERDIE AB WAHID
Kota Kinabalu : Umat Islam di Sabah diingatkan agar sentiasa merujuk kepada Tabung Haji (TH) atau agensi yang diiktiraf bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan berkaitan urusan haji.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, TH merupakan sebuah agensi yang berwibawa dalam membimbing bakal jemaah haji di seluruh negara.
“Saya menyeru semua umat Islam di Sabah supaya berhati-hati. Pastikan semua urusan berkaitan haji dibuat melalui Tabung Haji atau agensi yang telah dilantik dan diiktiraf.
“Ini bagi mengelakkan kita terlibat dalam penipuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Kursus Perdana Haji Zon Pantai Barat di Masjid Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini petang tadi bagi mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Hadir sama Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslan Muharam, Pengurus Besar Bahagian Syariah Lembaga Tabung Haji, Ustaz Imran Mohammad Khayat dan Pengarah Tabung Haji Wilayah Sabah Sarawak Datuk Nurlaila Said.
Kursus dua hari berakhir hari ini turut disertai lebih 400 bakal jemaah haji melibatkan beberapa buah daerah di kawasan Pantai Barat.
Arifin yang juga Exco Pendidikan dan Agama turut merakamkan penghargaan kepada TH atas usaha berterusan memberikan kursus asas dan bimbingan kepada jemaah di seluruh daerah di Sabah.
Katanya, langkah itu dilihat penting bagi memastikan jemaah dilengkapkan dengan ilmu dan panduan sebelum berangkat ke tanah suci.
Dalam pada itu, Arifin turut menggalakkan umat Islam di negeri ini untuk membudayakan amalan menabung sejak dari kecil, terutamanya melalui TH sebagai persediaan masa depan termasuk pendaftaran haji.
“Tahun ini hampir 1,000 bakal jemaah dari Sabah akan menunaikan haji. Diharapkan pada masa akan datang, kuota haji untuk negeri ini akan terus bertambah,” katanya.
Beliau turut menasihati orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan hanya berurusan melalui saluran rasmi bagi memastikan segala urusan haji mereka selamat dan sah. – SABAH MEDIA