Oleh Florieta Diet
KOTA KINABALU: Pembinaan kilang simen di kawasan Kuamut bukan helah untuk kegiatan pembalakan seperti yang didakwa pihak tertentu, sebaliknya bertujuan meningkatkan kemudahan infrastruktur dan ekonomi penduduk tempatan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah, berkata dakwaan bahawa projek itu bertujuan mengeksploitasi hasil balak adalah tidak berasas kerana kawasan tapak projek terletak di lereng batu kapur yang tidak sesuai untuk pertumbuhan pokok balak.
” Secara logiknya, tiada pokok besar boleh tumbuh di atas batu kapur. Tambahan pula, keluasan tapak hanya 200 ekar dan bukannya ribuan ekar seperti didakwa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Mesra Aidilfitri Bersama Media di kediamannya di sini hari ini (27 April).
Turut hadir Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk James Ratib.
Masiung yang Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) dan Pengerusi Borneo Cement (Sabah) Sdn Bhd (BCS) juga menjelaskan, pembinaan kilang simen itu melalui empat peringkat Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).
Setakat ini, projek berkenaan masih berada di peringkat pembersihan kawasan kerana hanya itu sahaja yang diluluskan menerusi EIA.
Masiung turut menafikan dakwaan kononnya pelabur menarik diri daripada projek berkenaan dan menyifatkan ia hanya spekulasi pihak pembangkang.
“Semua pelabur masih komited dan kerja-kerja pembinaan akan diteruskan. Bekalan elektrik akan disalurkan dari Nabawan, manakala bekalan air akan diambil dari anak sungai berhampiran melalui pembinaan loji sendiri,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa pelabur bersetuju membina jalan sejauh 26 kilometer bagi menghubungkan kawasan luar ke tapak kilang.
“Kilang ini mampu menyelesaikan isu kekurangan simen di Sabah, yang sebelum ini menyebabkan kontraktor terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan bekalan,” katanya.
Menurutnya lagi, projek berkenaan dijangka menghasilkan 5,000 tan simen sehari dan mampu menurunkan harga simen antara RM1 hingga RM2 setiap pek.
Selain menjana peluang pekerjaan kepada lebih 1,000 penduduk tempatan, kilang itu juga akan membuka ruang pembangunan infrastruktur lain seperti jalan raya.
“Penduduk di kawasan terlibat sudah diberi penerangan dan mereka menyokong projek ini kerana ia memberi manfaat jangka panjang kepada mereka,” ujarnya.