Kota Kinabalu : Lembaga Tabung Haji (TH) memperkenalkan tiga platform digital baharu bagi membantu mendigitalisasikan operasi haji dan memudahkan urusan para jemaah di Tanah Suci.
Pengurus Besar Bahagian Syariah TH, Imran Mohammad Khayat berkata, antara platform yang diperkenalkan ialah aplikasi THHujjaj yang membolehkan jemaah mengakses maklumat terkini sepanjang tempoh ibadat haji.

Selain itu, platform e-Bimbingan dibangunkan bagi memudahkan pembelajaran ibadat haji secara dalam talian manakala e-TAIB (Talian Ibadat Elektronik) membolehkan jemaah mengajukan soalan berkaitan hukum-hakam serta mendapatkan penjelasan secara langsung ketika berada di Makkah dan Madinah.
“Walaupun platform digital disediakan, TH tetap menempatkan Pembimbing Ibadat Haji terlatih di Tanah Suci bagi membantu para jemaah secara bersemuka,” katanya ketika berucap semasa Kursus Perdana Haji (Zon Pantai Barat) di Masjid Universiti Malaysia Sabah (UMS), pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Imran berkata, Kursus Perdana Haji memberi penekanan kepada aspek praktikal manasik haji, sekali gus membantu bakal jemaah memahami dengan lebih mendalam perjalanan ibadat mereka.
“Jemaah dinasihatkan agar mengikuti program bimbingan yang disusun termasuk ceramah dan taklimat haji semasa di Tanah Suci,” katanya.

Tambah beliau, TH sentiasa komited menjaga kebajikan dan keselamatan jemaah haji Malaysia sehingga perkhidmatannya diiktiraf bertaraf dunia dan menjadi contoh kepada negara Islam lain.
Dalam pada itu, Imran mengingatkan bakal jemaah supaya memahami konsep istito’ah (kemampuan) dari aspek kewangan, kesihatan, keselamatan dan kuota visa sebelum menunaikan ibadah tersebut.
Katanya, kos menunaikan haji tahun ini kekal sebanyak RM33,300 walaupun berdepan kenaikan inflasi, cukai nilai tambah (VAT) serta caj perkhidmatan dan pembangunan di Arab Saudi.
“TH turut menanggung kos penerbangan, penginapan, makanan, pengangkutan, caj pihak ketiga di Tanah Suci dan kos tidak langsung termasuk penganjuran kursus haji di seluruh negara,” katanya.
Dalam masa sama, Imran juga menasihati bakal jemaah supaya membuat persiapan mental, fizikal dan rohani termasuk menjaga kesihatan dengan melakukan senaman serta membiasakan diri minum air secukupnya sebagai persediaan menghadapi musim panas semasa Hari Wukuf.
Kursus yang berlangsung selama dua hari itu disertai lebih 400 orang bakal haji dari Zon Pantai Barat Sabah dan dirasmikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Dr. Mohd. Ariffin Mohd. Arif.
Hadir sama, Pembantu Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Ruslan Muharam; Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Sabah, Datuk Norjeli Idris; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah, Datuk Jumain Abdul Ghani; Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar serta Pengarah Tabung Haji Wilayah Sabah dan Sarawak, Datuk Nurlaila Said.-