Kota Kinabalu : Seramai 24 anak-anak yatim dari Rumah Amal Kasih Kingfisher menerima sumbangan dalam satu majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di sini baru-baru ini.
Sumbangan yang disalurkan Beacon Facility Solution Sdn Bhd itu telah disampaikan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Pengarah Beacon Facility Solution Sdn Bhd (Sabah), Mohammad Saiffullizaw Awang berkata, sumbangan itu adalah sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu golongan memerlukan.
Mengulas lanjut, Saiffullizaw berkata, pihaknya menyasarkan untuk meneroka peluang industri pembinaan di Sabah, termasuk dalam pembangunan Lebuhraya Pan Borneo.
Katanya, syarikat itu juga mahu membantu mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk di negeri ini menerusi projek yang bakal dilaksanakannya nanti.
“Kita cuba masuk sebagai kontraktor untuk projek infrastruktur dan akan melakukan yang terbaik, memandangkan jalan raya di Sabah pun agak teruk,” katanya.
Selain pembinaan jalan raya, katanya syarikat itu juga pernah terbabit dalam pembinaan kilang bateri kenderaan elektrik (EV) dan pusat data, selain tidak ketinggalan melaksanakan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Beacon Facility Solution Sdn Bhd, Alken@Lew Hon Chong berkata, pihaknya berupaya memperkenalkan teknologi baharu dari China khususnya dari segi pembinaan jalan raya, terowong dan tembok penahan lereng bukit.
Katanya, dengan pengalaman selama 20 tahun dalam bidang berkenaan di China, teknologi baharu itu sudah pasti mampu mengubah daya tahan, daya saing dalam pembangunan infrastruktur asas di Sabah.
Beliau juga berharap dapat mengadakan kerjasama dengan kerajaan negeri dalam tujuan itu.