Kota Kinabalu : Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) disaran memilih kursus yang mempunyai kebolehpasaran tinggi dan sesuai dengan keputusan masing-masing.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, tempat untuk semua pelajar disediakan namun pemilihan tetap berdasarkan merit.
“Kita harap pelajar bijak memilih kursus yang sesuai dengan keputusan mereka. Ia akan memudahkan proses pemilihan masuk ke institusi pengajian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Raya Aidilfitri Sekampung Parlimen Sepanggar, di sini pada Sabtu.
Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar turut mengingatkan pelajar supaya tidak lupa membeli nombor pin UPU di Bank Simpanan Nasional (BSN) sebelum membuat permohonan secara dalam talian.
“Pertama sekali, pergi ke BSN, beli pin UPU dan buat permohonan menerusi UPU Online,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan komited menggalakkan lebih ramai pelajar Sabah menceburi bidang berkaitan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Mengulas usaha meningkatkan bilangan pelajar dalam bidang perubatan, beliau menjelaskan kursus tersebut memerlukan asas STEM yang kukuh dan usaha perlu bermula dari peringkat sekolah.
“Kalau STEM diabaikan, sukar untuk kita lahirkan lebih ramai doktor dan tenaga profesional dalam bidang perubatan,” katanya.
Beliau berkata, Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menyediakan Fakulti Perubatan bagi memberi peluang kepada anak-anak tempatan melanjutkan pengajian dalam bidang itu.
“Fokus kita adalah memperkukuhkan pendidikan STEM di Sabah yang masih ketinggalan berbanding negeri lain,” katanya.