HomePendapatMalaysia: Bencana Banjir Menghasilkan Kerugian Ratusan Juta

Malaysia: Bencana Banjir Menghasilkan Kerugian Ratusan Juta

Read Time:2 Minute, 41 Second

Oleh Wan Azrain Adnan

BANJIR merupakan bencana alam utama yang di hadapi oleh rakyat Malaysia di seluruh negara.

Setiap tahun, terutamanya semasa musim monsun, ramai rakyat terpaksa berdepan dengan bencana banjir yang menjejaskan kehidupan serta merosakkan harta benda, seterusnya menyebabkan kerugian besar kepada rakyat dan negara.

Antara negeri yang sering terjejas teruk dengan bencana banjir ialah Kelantan. Justeru itu, gesaan Perdana Menteri Malaysia untuk menyegerakan projek tebatan banjir di Kelantan adalah bertepatan dan di sambut baik. Gesaan ini di suarakan ketika lawatan Perdana Menteri Malaysia ke Kelantan pada minggu lepas.

Menurut Laporan Khas Impak Banjir Di Malaysia 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang di terbitkan pada Mac 2025, Malaysia di anggarkan telah merekodkan jumlah kerugian keseluruhan akibat banjir sebanyak RM 933.4 juta pada tahun 2024. Ini bersamaan dengan 0.05% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Jumlah kerugian tersebut meliputi tempat kediaman, kenderaan, premis perniagaan dan perindustrian, serta aset awam dan infrastruktur.

Membimbangkan, jumlah kerugian berkenaan telah meningkat tinggi sebanyak 24% (RM 178 juta), dari RM 755.4 juta (2023) kepada RM 933.4 juta (2024). Namun begitu, dalam tempoh masa 4 tahun (2021 – 2024), jumlah kerugian akibat banjir telah menunjukkan trend penurunan besar, dari RM 6,112 juta (2021).

Dari segi pecahan kerugian, tempat kediaman telah mencatatkan jumlah kerugian terbesar sebanyak RM 372.2 juta, meningkat 121% dari RM 168.3 juta (2023). Lain-lain kerugian adalah:

 aset awam dan infrastruktur: RM 303.4 juta
 sektor pertanian: RM 185.2 juta
 premis perniagaan: RM 54.1 juta
 kenderaan: RM 17.3 juta
 sektor pembuatan RM 1.2 juta

Laporan DOSM berkenaan turut menunjukkan Kelantan telah mencatatkan kerugian tempat kediaman terbesar sebanyak RM 139.0 juta (37%), Terengganu (RM 103.1 juta: 28%) dan Kedah (RM 54.0 juta: 15%).

Di Kelantan, daerah-daerah yang terjejas teruk adalah: Pasir Mas (RM 46.2 juta), Tumpat (RM 31.7 juta) dan Kota Bharu (RM 19.2 juta).

Selain itu, Kelantan turut mencatatkan kerugian premis perniagaan terbesar sebanyak RM 27.1 juta dan kerugian sektor pembuatan terbesar sebanyak RM 1.1 juta. Terengganu pula telah mencatatkan kerugian kenderaan terbesar sebanyak RM 5.8 juta.

Pada masa yang sama, laporan DOSM berkenaan juga menunjukkan bencana banjir di Sabah telah menyebabkan kerugian besar kepada tempat kediaman, di mana jumlah kerugian tempat tinggal merangkumi lebih 40% daripada jumlah keseluruhan kerugian akibat banjir di Sabah.


Setiap tahun bencana banjir memberi impak yang besar kepada rakyat dan negara. Oleh yang demikian, Kerajaan Malaysia telah memperuntukkan dana yang besar bagi menangani bencana banjir di seluruh negara. Semasa pembentangan Belanjawan Malaysia 2025, Menteri Kewangan Malaysia telah memaklumkan bahawa 12 projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) bakal dilaksanakan dengan kos sebanyak RM 3 bilion.

Ini melibatkan projek RTB di beberapa negeri, antaranya: Sungai Damansara (Selangor), Sungai Likas (Kota Kinabalu, Sabah), Sungai Triang (Bera, Pahang), Sungai Tepoh dan Banggol Air Lilih (Kuala Nerus, Terengganu) dan pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Kelantan Fasa 2 (Kota Bharu, Kelantan).

Di samping itu, di bawah Belanjawan Malaysia 2025, Kerajaan Malaysia turut menyediakan peruntukan hampir RM 600 juta kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai persiapan menghadapi bencana banjir.

Dengan isu perubahan iklim/ climate change yang semakin meruncing, bencana banjir mungkin berlaku bertambah kerap dan dahsyat. Malaysia mesti bersedia.

RELATED ARTICLES
Pendapat

Malaysia ambil pendekatan berwaspada hadapi cabaran global

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular