HomePendapatSabah Makin Sejahtera: Bukti Usaha Membasmi Kemiskinan Berhasil

Sabah Makin Sejahtera: Bukti Usaha Membasmi Kemiskinan Berhasil

Read Time:2 Minute, 54 Second

Oleh Wan Azrain Adnan

Kesejahteraan rakyat Sabah terus memperlihatkan perkembangan membanggakan.

Pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah pertengahan April lalu, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah berkongsi berita baik — jumlah Ketua Isi Rumah (KIR) Miskin Tegar di Sabah mencatat penurunan ketara berdasarkan data e-Kasih.

Dalam tempoh hanya setahun, dari 29 Februari 2024 hingga 28 Februari 2025, bilangan KIR Miskin Tegar di negeri ini berjaya dikurangkan sebanyak 89.9%, daripada 14,553 kepada hanya 1,464.

Untuk rekod, kategori Miskin Tegar merujuk kepada isi rumah yang berpendapatan di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Makanan iaitu RM1,218 sebulan — tahap di mana keperluan asas makanan pun tidak mampu ditampung.

Agenda Lima Teras

Menelusuri kejayaan ini, kerajaan negeri berpegang pada lima teras utama dalam membasmi kemiskinan — menyediakan bantuan perumahan, pendidikan, peluang pekerjaan, bantuan kebajikan dan kewangan, serta latihan keusahawanan.

Malah, sejak Februari 2025, satu lagi inisiatif baharu, Program Sentuhan Kasih Rakyat (Syukur), dilancarkan melibatkan 72,060 KIR miskin dan miskin tegar, dengan dana RM358.5 juta diperuntukkan menerusi Belanjawan Sabah 2025.

Setiap keluarga yang layak menerima bantuan RM300 sebulan selama setahun bagi meringankan beban kos sara hidup.

Melakar Sejarah Baharu

Sabah selama ini bergelut dengan kadar kemiskinan tertinggi di Malaysia. Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 2022 menunjukkan insiden kemiskinan tegar di Sabah enam kali ganda lebih tinggi berbanding purata nasional — satu realiti legasi yang diwarisi turun-temurun.

Kini, pengurangan drastik ini mencerminkan perancangan rapi dan iltizam tinggi kerajaan negeri.

Dalam Belanjawan Sabah 2025, RM488.5 juta lagi diperuntukkan untuk memperkasakan program pembasmian kemiskinan, antaranya:

  • RM250 juta bagi membina 3,000 unit Rumah Mesra Sabah Maju Jaya.
  • Bantuan one-off RM5,000 kepada peniaga gerai kecil tepi jalan.

Menambah kejayaan ini, kerajaan negeri turut meluluskan Revolusi Ekonomi Pertanian Luar Bandar 2025–2030 (RAER), dijangka menjana RM2–3 bilion nilai ekonomi serta melibatkan 100,000 isi rumah luar bandar.

Jangan Leka

Namun begitu, agenda ini tidak boleh dihentikan separuh jalan. Kadar kemiskinan bersifat dinamik — boleh berubah mendadak akibat kehilangan pekerjaan, kenaikan bilangan ahli keluarga atau faktor-faktor ekonomi lain.

Sebagai peringatan, sehingga akhir Mac 2025, Sabah merekodkan penerima tertinggi dalam program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) 2025 — 497,815 penerima dengan nilai bantuan RM492.64 juta.

Di bawah SARA 2025, penerima menerima RM50–RM200 sebulan selama 9 hingga 12 bulan untuk membeli barangan keperluan asas seperti beras, minyak, telur, ubat-ubatan dan bahan persekolahan.

Bermula April 2025, Perdana Menteri mengumumkan perluasan program SARA sehingga melibatkan 5.4 juta penerima — lonjakan besar berbanding 700,000 sebelum ini.

Keluar Dari Lingkaran Kemiskinan

Namun, usaha membasmi kemiskinan bukan sekadar untuk melepaskan rakyat dari belenggu kemiskinan tegar. Sasaran sebenar ialah untuk mengangkat martabat hidup mereka — supaya menikmati kehidupan wajar dan selesa.

Menurut laporan Indikator Kos Sara Hidup Malaysia 2023 (DOSM), isi rumah di Sabah memerlukan sekurang-kurangnya RM4,414 sebulan untuk menjalani kehidupan asas yang sejahtera.

Menariknya, daerah Lahad Datu mencatatkan Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) kelima tertinggi di Malaysia — RM5,608 sebulan, malah lebih tinggi daripada purata nasional RM4,729.

Sementara itu, Kinabatangan merekodkan PAKW makanan tertinggi di Malaysia iaitu RM2,040 sebulan.

Sebaliknya, median upah bulanan pekerja di Sabah hanya RM1,882 pada suku ketiga 2024 — ketiga terendah di Malaysia, dan jauh daripada mencukupi untuk kehidupan wajar.

Ini memperlihatkan cabaran sebenar: meningkatkan pendapatan rakyat secara mampan, bukan sekadar melalui bantuan kewangan jangka pendek.

Sabah Makmur, Rakyat Sejahtera

Sabah kini berada di landasan betul untuk memerdekakan rakyatnya dari kemiskinan. Namun perjalanan ini menuntut keazaman berterusan agar semua lapisan masyarakat mampu menikmati kehidupan bermaruah dan sejahtera.

RELATED ARTICLES
Utama

Sletcher Myranda dinobat Unduk Ngadau Penampang 2025

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular