Kota Kinabalu : Seramai 36 orang tenaga pengajar dan pelajar program Diploma Akauntasi (DAT) Politeknik Kota Kinabalu (PKK) menyertai Program Khidmat Masyarakat di sini baru-baru ini.
Program yang berlangsung di Masjid Al-Qawiy, Kundasang Lama itu bertujuan untuk memberikan bimbingan dalam pengurusan aset serta mengadakan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan masjid.

Pengerusi Masjid Al-Qawiy Azizul Saharin berkata, pihaknya turut menyambut baik inisiatif itu yang bukan sahaja membantu dalam pengurusan aset masjid, malah turut mengeratkan silaturahim antara warga PKK dan komuniti masjid.
Program dimulakan dengan sesi taklimat berkenaan pengurusan aset yang disampaikan oleh Ketua Program DAT Temson Tunick serta aktiviti gotong-royong dijalankan secara serentak sepanjang program.
Sebagai tanda keprihatinan dan kerjasama, PKK turut memberikan wakaf berupa keperluan masjid seperti vakum, almari, kain pelikat, alas kaki, tikar dan peralatan pembersihan bagi kemudahan pihak masjid.
Inisiatif ini selari dengan usaha PKK dalam membentuk pelajar yang berjati diri, berjiwa kepimpinan dan prihatin terhadap masyarakat sekeliling, tidak hanya cemerlang dalam bidang akademik semata-mata namun pelajar dapat mengaplikasikan sebahagian ilmu yang dipelajari di lapangan.
Terdahulu, program itu diketuai Pengarah Program, Masliza Idani Mahmood dan turut disertai oleh Ketua Jabatan Perdagangan, Nirazmilah Sulaiman. – SABAH MEDIA / FOTO PKK