HomeUtamaDua homestay komuniti KK rangkul anugerah ASEAN

Dua homestay komuniti KK rangkul anugerah ASEAN

Read Time:1 Minute, 33 Second

Kota Kinabalu : Dua Inap Desa atau ‘Homestay’ komuniti di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mencipta sejarah apabila merangkul Anugerah ASEAN Homestay Standard (AHSA).

Homestay Desa Cinta Kobuni dan Homestay Id Kalangadan, masing-masing diberi pengiktirafan berprestij di peringkat Asia Tenggara hasil komitmen mereka dalam memelihara budaya, memacu ekonomi komuniti, serta mengamalkan pelancongan lestari bertaraf antarabangsa.

Majlis penyerahan anugerah disempurnakan Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah dalam satu majlis yang diadakan di sini pada Isnin 

Ketika berucap, Sabin berkata, pihaknya turut memuji usaha gigih komuniti dalam memperkasakan sektor pelancongan berasaskan komuniti.

“Ini bukan sekadar kejayaan homestay, tetapi manifestasi kepada kebangkitan komuniti Kota Kinabalu sebagai pemain utama dalam pelancongan serantau. AHSA menuntut standard tinggi dan mereka berjaya mengatasinya dengan cemerlang.

“Anugerah ini juga adalah hasil bimbingan berterusan DBKK melalui program ‘Framework for Sustainable Community Based Ecotourism (FSCBE)’ yang memberi fokus kepada pembangunan komuniti melalui latihan, penjenamaan digital, dan pemantapan organisasi,”‘katanya.

Katanya, hmestay yang menerima anugerah ini perlu memenuhi pelbagai kriteria ketat termasuk dari pemeliharaan budaya, pengurusan lestari, kualiti perkhidmatan, keselamatan, hingga kepada penglibatan aktif komuniti tempatan.

Antara aktiviti unik yang ditawarkan termasuk pakej Mansau Ansau, pengalaman berkhemah, permainan muzik tradisional, serta pelbagai program budaya yang memberi peluang kepada pelancong untuk menyelami gaya hidup sebenar masyarakat Sabah.

Sementara itu, Sabin berkata, anugerah itu turut membuka pintu kepada promosi antarabangsa serta memperkukuh ekonomi komuniti luar bandar melalui peningkatan peluang pekerjaan dan penambahan pendapatan.

“Ini bukan noktah kejayaan, tetapi permulaan kepada tanggungjawab lebih besar untuk terus menjaga budaya, komuniti dan alam sekitar,”katanya sambil menggesa lebih banyak komuniti tampil membina homestay mampan.

Majlis turut dihadiri oleh Ketua Pengarah DBKK, Sr. Lifred Wong.

Dengan kejayaan ini, Kota Kinabalu kini berdiri megah di peta pelancongan ASEAN — bukan sekadar sebagai destinasi, tetapi sebagai simbol kejayaan komuniti yang bersatu demi masa depan lestari. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Rini Aswanda Jukilin dinobat Unduk Ngadau Bandaraya Beluran

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular