SANDAKAN: Seorang lelaki berusia 27 tahun yang dipercayai berada di bawah pengaruh gam ditahan selepas mengamuk sambil membawa sebilah parang di kawasan ABX, Bandar Indah, di sini, semalam (28 April).
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, suspek ditahan kira-kira jam 11.00 pagi oleh sepasukan anggota peronda polis (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan selepas menerima maklumat daripada Pusat Kawalan Daerah (DCC) Sandakan.
“Hasil pemeriksaan, polis merampas sebilah parang panjang berukuran 70 sentimeter termasuk hulu yang dibawa suspek di tempat awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ahsmon, tangkapan dilakukan secara ‘red handed’ dan siasatan awal mendapati suspek dipercayai bertindak sedemikian akibat terlebih menghidu gam.
“Suspek kini direman dan disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga sepuluh tahun dan sebatan jika sabit kesalahan,” katanya.