Pitas : Pertubuhan Dusun Islam Sabah (PDIS) menerima sumbangan sebanyak RM100,000 bagi membina Rumah Transit di Sekolah Kebangsaan (SK) Bawing di sini.
Sumbangan yang disalurkan tiga buah syarikat swasta itu disampaikan kepada Presiden PDIS Datuk Harun Ismail pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri PDIS 2025 di Dewan Terbuka Dataran Bengkoka di sini pada Ahad.
Majlis penyerahan sumbangan itu turut disaksikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Antara penyumbang bagi membina rumah transit berkenaan adalah MD Reliant Resources Sdn Bhd; MD Nusantara Renewal Energy Sdn Bhd dan MD Bina Teraju Sdn Bhd.
Kesukaran pelajar SK Bawing yang terpaksa meredah hutan, semak samun, serta paya bakau untuk ke sekolah mendapat perhatian PDIS bagi membina rumah transit berkenaan.
Sekolah berkenaan yang dikategorikan sebagai sekolah kategori B terletak kira-kira 100 kilometer dari Kota Kinabalu dan 30 kilometer dari Pekan Pitas, menampung seramai 48 orang pelajar dan majoritinya datang dari keluarga petani dan pekerja ladang kelapa sawit.
Disebabkan jarak yang jauh, ibu bapa serta guru telah berusaha membina sebuah asrama transit sebagai tempat penginapan pelajar yang tidak mampu berulang-alik setiap hari, terutamanya ketika musim hujan dan banjir.
Terdahulu,Harun berkata, penganjuran majlis itu merupakan acara tahunan PDIS bagi menyantuni seluruh lapisan masyarakat di Sabah.
“Pada tahun lalu, PDIS telah adakan sambutan di Ranau dan tahun ini daerah Pitas cukup bertuah menjadi tuan rumah.
“Saya bagi pihak penganjur turut mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program ini,” katanya. – SABAH MEDIA