Kota Kinabalu : Kes jangkitan penyakit Tangan, Kaki, dan Mulut (HFMD) di Sabah menunjukkan peningkatan apabila sebanyak 4,385 kes dicatatkan di negeri ini bagi tempoh Januari hingga 19 April 2025.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Dr Maria Suleiman berkata, sebanyak 83 peratus daripada keseluruhan kes ini adalah melibatkan kanak-kanak berusia di bawah tujuh tahun.
Katanya, sebanyak lima daerah melaporkan kumulatif kes tertinggi iaitu Kota Kinabalu sebanyak 705 kes; Papar (578 kes), Penampang (450 kes), Keningau (431 kes) dan Tawau (262 kes).
Menurutnya, kesemua kes ini adalah ringan dan hanya memerlukan rawatan pesakit luar tanpa melibatkan kes di Unit Rawatan Rapi (ICU) atau berlaku kematian.
“Majoriti jangkitan yang dilaporkan berlaku di rumah atau pusat pendidikan awal kanak-kanak seperti taska, tadika dan pra-sekolah.
“Selain itu, kluster HFMD telah dilaporkan di 10 buah sekolah, yang mana lima daripadanya telah diarah ditutup sepenuhnya, manakala selebihnya ditutup sebahagian melibatkan kelas tertentu.
“Arahan penutupan ini adalah bersifat sementara bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan serta kerja-kerja pembersihan dan disinfeksi untuk memutuskan rantaian jangkitan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dr Maria berkata, langkah kawalan yang diambil melibatkan siasatan kes, persampelan makmal, promosi kesihatan, dan pemeriksaan premis berisiko berdasarkan Garis Panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Katanya, pemeriksaan ini dilakukan bagi menilai tahap kebersihan dan keberkesanan disinfeksi terutama dalam populasi berisiko.
“Ibu bapa dan penjaga disaran mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti mencuci tangan sebelum makan dan selepas menggunakan tandas, serta memastikan permainan, bilik air, dan barangan yang kerap disentuh dibersihkan secara berkala menggunakan sabun, air, atau cecair disinfeksi.
“Barangan peribadi seperti cawan, tuala, dan berus gigi tidak boleh dikongsi. Kanak-kanak bergejala perlu segera mendapatkan rawatan dan dilarang menghadiri pusat jagaan atau tempat awam untuk mengelakkan penularan jangkitan HFMD,” katanya.
Tambahnya lagi, maklumat berhubung pencegahan HFMD boleh diperoleh dari laman infosihat.moh.gov.my, Facebook KKM dan Facebook JKNS.
“Pihak JKNS juga akan terus memantau dan mengemas kini maklumat berkaitan dari semasa ke semasa,” katanya. – SABAH MEDIA