KOTA KINABALU: Lembaga Pengarah AuMAS Resources Berhad (dahulunya dikenali sebagai Bahvest Resources Berhad) hari ini memaklumkan bahawa anak syarikat milik penuhnya, Wullersdorf Resources Sdn. Bhd. (WRSB), telah menerima kelulusan daripada Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) bagi pembaharuan lesen Skim Perlombongan Operasi (Operational Mining Scheme – OMS) untuk tempoh lanjutan enam bulan.
Pengumuman ini susulan pemakluman terdahulu yang dibuat oleh syarikat pada 24 Februari 2025.
Pembaharuan lesen tersebut membolehkan aktiviti perlombongan WRSB di Sabah diteruskan tanpa gangguan, sejajar dengan komitmen syarikat terhadap kelestarian operasi serta pematuhan peraturan industri perlombongan di Malaysia.
sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Aumas Resources Berhad, Chong Tzu Khen turut menegaskan bahawa kenyataan ini dikeluarkan bagi menjelaskan dan menangkis sebarang salah tanggapan pasaran berkaitan pematuhan syarikat terhadap kelulusan pengawalseliaan.
“Syarikat mematuhi sepenuhnya semua keperluan peraturan yang perlu dan beroperasi selaras dengan undang-undang yang berkuat kuasa,” ujarnya.