Kota Kinabalu : Sabah melakar pencapaian penting dalam landskap tenaga boleh diperbaharui menerusi Projek Oriole, sebuah loji hidroelektrik aliran sungai berkapasiti 162 megawatt (MW) yang akan dibangunkan di Hulu Sungai Padas, Sipitang.
Projek ini merupakan inisiatif oleh Jentayu Sustainables Berhad (JSB) melalui anak syarikatnya Oriole Hydro Padas Sdn. Bhd. (OHP), dengan kerjasama Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) dan Yayasan Sabah yang menandakan satu langkah penting ke arah memperkukuh keselamatan tenaga dan kelestarian alam sekitar di Sabah.
Majlis pertukaran rasmi dokumen Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) antara OHP dan SESB serta kontrak Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC) antara OHP dan konsortium diketuai oleh XD Power Transmission Sdn. Bhd.
Majlis pertukaran dokumen disaksikan Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya yang mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Projek Oriole merupakan loji tenaga boleh diperbaharui baharu pertama di Sabah yang ditandatangani di bawah program Enhanced Connection Scheme (ECoS).
Ia merupakan satu inisiatif strategik negeri untuk menampung permintaan tenaga yang semakin meningkat melalui sumber yang bersih dan mampan.
Projek ini dijangka mula beroperasi secara komersial pada 1 Jun 2029, di bawah perjanjian konsesi selama 40 tahun, dan akan menjana tenaga pada tarif kompetitif 31.5 sen/kilowatt-jam, menjadikannya antara projek tenaga hijau paling berdaya saing di rantau ini.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif JSB Datuk Beroz Nikmal Mirdin berkata projek berkenaan adalah bukti komitmen pihaknya terhadap pembangunan tenaga bersih di Sabah.
“Dengan sokongan kerajaan negeri dan rakan strategik, kami yakin projek ini akan memberi impak positif jangka panjang dari segi ekonomi, alam sekitar dan kesejahteraan rakyat,” katanya. – SABAH MEDIA